KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang merangka Rang Undang-undang Perubahan Iklim Kebangsaan (RUUPIN) dan Dasar Pasaran Karbon Negara (DPKK) yang dijangka akan dibentang di Parlimen pada tahun hadapan.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, RUU itu antara lain membimbing pelaksanaan tindakan mitigasi dan penyesuaian serta menyokong inisiatif perdagangan karbon Malaysia.
Beliau berkata, perkara itu selaras dengan perkembangan antarabangsa mengenai perubahan iklim seperti di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
“Memandangkan Malaysia terus melaksanakan dasar iklimnya, adalah penting untuk menyedari bahawa strategi ini mengambil kira penilaian saintifik Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) yang menyediakan asas untuk tindakan iklim di seluruh dunia.
“Penemuan ini secara langsung membentuk hala tuju dasar Malaysia, memastikan usaha negara sejajar dengan komitmen global untuk mengurangkan risiko iklim dan mencapai kemampanan jangka panjang,” katanya ketika berucap pada Simposium IPCC di sini hari ini.
Dalam pada itu Nik Nazmi berkata, melalui inisiatif dan perkongsian seperti simposium itu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar komited menyokong bukti saintifik terkini dari pakar tempatan.
“Hari ini, kita diberi peluang yang luar biasa apabila saintis iklim di bawah IPCC bekerjasama dengan saintis Malaysia, termasuk penyelidik muda yang merupakan peneraju masa depan dalam sains iklim.
“Minda muda ini adalah inovator dan pemikir yang akan membentuk hala tuju sains iklim global pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu penting untuk mewujudkan kesedaran yang lebih besar tentang IPCC di kalangan saintis tempatan dan menggalakkan penyertaan aktif mereka dalam proses IPCC.- KOSMO! ONLINE.