DI Hollywood, kecoh rapper ternama Jay Z berdepan tuduhan merogol seorang budak berusia 13 tahun pada 2000. Perbuatan terkutuk tersebut didakwa dilakukan bersama rakannya, Sean Diddy Combs.
Seorang wanita dengan identiti rahsia Jane Doe mendakwa telah dirogol Jay-Z atau nama sebenarnya Shawn Carter usai parti MTV Video Music Awards.
Menyangkal semua dakwaan, Jay Z yang merupakan suami kepada diva Beyonce menyifatkan semua itu sebagai tidak berasas dan satu perbuatan keji untuk menjatuhkan dirinhya.
“Individu yang mendakwa saya seharusnya menerima pembalasan yang setimpal jika pertuduhan ini tidak berasas,” ujar Jay-Z.
Selebriti dan jenayah bukan satu perkara ganjil di negara Barat. Justeru, HibGlam kali ini merangkumkan ‘kisah’ bintang popular yang pernah didakwa dengan pelbagai tuduhan mengaibkan.
- Robert Downey Jr.
Jenayah: Kita barangkali mengenali susuk Robert Downet Jr. menerusi karakter adiwira ikonik, Iron Man dan dia merupakan pemenang trofi Oscar. Bagaimanapun, pada penghujung 1999, Downey Jr. ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan didakwa di mahkamah atas tuduhan penyalahgunaan dadah. Dia meringkuk di penjara Corcoran, California selama 15 bulan disebabkan kesalahan tersebut.
- Bruno Mars
Jenayah: Disifatkan sebagai antara penyanyi lelaki paling berjaya dengan deretan lagu hit sepert Uptown Funk, Bruno Mars juga sama seperti Robert Downey Jr. yang mempunyai masalah ketagihan dadah. Pada September 2010, Mars ditangkap pihak berkuasa di Hard Rock Hotel di Las Vegas dan disabit dengan kesalahan memiliki bahan narkotik. Mars ditahan kerana memiliki 2.6 gram dadah jenis kokain, namun terlepas daripada hukuman penjara selepas menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam.
- Michael Jackson
Jenayah: Michael Jackson berdepan detik paling hitam dalam hidupnya pada 2003. Pelantun lagu Black or White itu berdepan pelbagai pertuduhan meliwat seorang remaja lelaki berusia 13 tahun. Bagaimanapun, selepas lama turun naik mahkamah penghibur kulit hitam itu dibebaskan daripada kesemua tuduhan jenayah yang disabitkan terhadapnya.
- Justin Bieber
Jenayah: Merupakan antara bintang paling popular dunia, Justin Bieber pernah ditahan kerana memandu bawah pengaruh alkohol dan tanpa lesen memandu yang sah sekitar Januari 2014. Pelantun lagu Baby itu mengaku bersalah dan bebas hukuman penjara. Cumanya, dia dikehendaki melunaskan 12 jam kaunseling pengurusan emosi dengan menghadiri kelas tentang impak buruk memandu dalam keadaan mabuk.
- Keanu Reeves
Jenayah: Dunia mengenali Keanu Reeves menerusi filem seperti The Matrix dan John Wick, namun hero kacak itu juga pernah tersilap langkah dalam kehidupannya, sama seperti manusia lain. Pada Mei 1993, Reeves ditahan polis kerana memandu bawah pengaruh alkohol di Los Angeles. Dia bagaimanapun mengaku bersalah dan disebabkan itu, dia bebas daripada pertuduhan tersebut.