fbpx

Lapan fakta menarik karier Hamilton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMILTON beramah mesra bersama para peminat pada majlis perpisahan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini. - FARIZ RUSADIO

SEBUT sahaja nama Lewis Hamilton, sudah pasti ramai yang mengenalinya sebagai ikon dunia Formula Satu (F1).

Aksi cemerlangnya meraih gelaran dunia tujuh kali menyaksikan pemandu kelahiran Bri­tain itu diangkat sebagai salah seorang pemandu terbaik dalam sejarah F1.

Hamilton bukan ha­nya bintang biasa, tetapi seorang pejuang tanpa mengenal erti mengalah terutamanya selepas meninggalkan McLaren yang diwakili dari 2007 hingga 2012, menyertai Mercedes pada 2013.

Awalnya dipandang skeptikal oleh banyak pihak tetapi menjadi langkah strategik apabila berjaya merangkul gelaran dunia pada 2014, 2015, 2017, 2018, 2019 dan 2020 bersama Mercedes.

Dunia F1 sekali lagi dikejutkan dengan keputusan ­Hamilton mengucapkan selamat tinggal kepada Mercedes dan menyertai Ferrari yang berpangkalan di Maranello, Itali musim depan.

Fakta Sukan Kosmo! berkongsi fakta-fakta menarik mengenai perjalanan luar biasa Hamilton dalam perlumbaan F1 yang telah mengubah landskap sukan itu selama lebih satu dekad.

Bermula dengan go-kart

Hamilton memulakan karier di usia lapan tahun dengan berlumba go-kart setelah mendapat sokongan daripada bapanya, ­Anthony Hamilton.

Menjadi juara go-kart Britain pada umur 10 tahun telah menarik minat Ketua Pasukan McLaren, Ron Dennis untuk menjadi pelumba muda pasukan itu.

Selepas beberapa tahun berjaya dalam go-kart, Hamilton melangkah ke dunia perlumbaan profesional, menyertai Formula Renault UK pada 2001. Kejayaan itu
membawanya dalam radar pasukan-pasukan besar.

Gelaran dunia pertama

Debut Hamilton dalam F1 pada 2007 bersama McLaren. Musim pertama, dia telah mencipta sensasi bergelar naib juara, dipisahkan satu mata di belakang Kimi Raikkonen.

Hamilton kemudiannya mengejutkan ramai pihak apabila meraih gelaran dunia pertama pada 2008 selepas bersaing sengit de­ngan Felipe Massa sekali gus menjadikannya pelumba termuda dinobatkan juara dunia F1.

Rekod kemenangan Grand Prix

Hamilton memecahkan rekod kemenangan Grand Prix (GP) terbanyak dalam sejarah F1 menerusi 105 kemenangan. Kejayaan memperoleh pole position (petak depan) juga menjadikannya sebagai pemandu paling banyak memulakan perlumbaan di tempat pertama.

Legenda F1, Michael Schumacher menduduki tangga kedua dengan 91 kemenangan dan pelumba Belanda, Max Verstappen di kedudukan ketiga (63 kemenangan).

Menerima gelaran Sir

Pada 2020, Hamilton dianugerahkan gelaran ‘Sir’ oleh Ratu Elizabeth II sebagai penghargaan terhadap pencapaian­nya dalam sukan dan juga pengaruhnya di seluruh dunia sekali gus menjadikan dia sebagai pemandu F1 pertama menerima pengiktirafan hebat tersebut.

Memiliki kewarganegaraan Brazil

Pada tahun 2021, Hamilton menggembirakan rakyat Brazil apabila mengibar bendera negara itu daripada jentera Mercedes ketika membuat pusingan perlahan selepas memenangi perlumbaan di Litar Interlagos, Sao Paulo.

Tindakan itu menarik perhatian Anggota Kongres yang kemudian mengusulkan bahawa juara dunia F1 tersebut sebagai warganegara kehormat Brazil.

Hamilton juga mendedikasikan kemenangan tersebut kepada idola­nya iaitu juara dunia F1 tiga kali dari Brazil, Ayrton Senna.

Dominasi bersama Mercedes
Keputusan Hamilton meninggalkan McLaren dan bergabung dengan Mercedes bermula tahun 2013 menimbulkan keraguan dalam kalangan banyak pihak. Namun, dia terus membuktikan kemampuannya dan meraih pelbagai kejayaan besar bersama pasukan Jerman itu.

No. 44 pada jentera

Nombor 44 pada jentera Hamilton telah digunakan semenjak perlumbaan go-kart yang ketika itu masih berusia lapan tahun yang diambil sempena nombor plat kereta ayahnya.

Hamilton mengekalkan nombor tersebut biarpun terdapat cadangan banyak pihak supaya dia menukar dengan menggunakan No. 1 selepas kejayaan merangkul gelaran dunia berturut-turut.

Ikon fesyen

Biarpun berdepan jadual padat dalam perlumbaan F1, Hamilton tetap menarik perhatian ramai menerusi penampilan menariknya sehinggakan diangkat sebagai ikon fesyen terunggul masa kini.

Kerjayanya sebagai ahli sukan tidak menghalang minatnya berfesyen, malah turut mengenakan gaya berani dan berkolaborasi dengan jenama ternama seperti Tommy Hilfiger serta memiliki jenamanya sendiri, Plus 44.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI