fbpx

Keyakinan United melonjak lawan Man. City

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HOJLUND (dua dari kiri) menyelamatkan maruah United dengan meledak dua gol menewaskan Plzen 2-1 awal pagi semalam. - AFP

PLZEN, Republik Czech – Manchester United belajar daripada prestasi hambar di separuh masa pertama untuk bangkit mencatat kemenangan 2-1 ke atas Viktoria Plzen dalam saingan Liga Europa di Doosan Arena awal pagi semalam.

Pengurus United, Ruben Amorim berbangga dengan reaksi ditunjukkan anak-anak buahnya biarpun ketinggalan dahulu kepada Plzen menerusi Matej Vydra disebabkan kesilapan penjaga golnya, Andre Onana pada minit ke-48.

Pengendali berusia 39 tahun itu juga membuat keputusan tepat membuat pertukaran pada awal babak kedua dengan membawa masuk Rasmus Hojlund menggantikan Marcus Rashford yang beraksi cukup mengecewakan.

Hojlund membalas kepercayaan itu dengan meledak dua gol pada minit ke-62 dan 88 sekali gus memastikan The Red Devils kembali ke landasan kemenangan selepas tewas dua aksi berturut-turut kepada Arsenal dan Nottingham Forest sebelum ini.

“Kami bertambah baik sepanjang perlawanan. Kami menguasai permainan di separuh masa pertama tetapi tanpa peluang besar.

“Kami kurang kelajuan dan pergerakan, padang juga menjadikan lebih sukar untuk mencipta hubungan dengan barisan penyerang walaupun lawan tidak banyak mencipta peluang.

“Di separuh masa kedua, kami bolos satu gol tetapi saya gembira dengan reaksi pemain. Kami terus menekan mereka dan akhirnya berjaya menjaringkan gol. Kemenangan ini penting untuk aksi seterusnya,” kata Amorim.

United kekal tanpa kalah dalam kempen Liga Europa musim ini dengan tiga kemenangan serta tiga seri daripada enam aksi dan kini melonjak ke tangga ketujuh yang merupakan slot automatik ke pusingan 16 terbaik.

Kejayaan itu pastinya melonjakkan semangat para pemain untuk berdepan musuh setempat, Manchester City bagi saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad awal pagi Isnin ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI