PETALING JAYA – Kesilapan penjaga gol negara, Haziq Nadzli membuka peluang buat Thailand untuk menjaringkan gol tunggal untuk menewaskan Malaysia 1-0 pada aksi Kumpulan A saingan Piala Asean 2024 sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Rajamangala, Bangkok itu, skuad negara kendalian Pau Marti Vicente membariskan formasi 3-4-3 dengan jentera serangan diketuai oleh Haqimi Azim, Fazrul Amir dan Endrick Dos Santos.
Taktikal tersebut nyata berjaya menyerap tekanan yang dilakukan oleh pasukan tuan rumah dengan Malaysia turut berjaya menguasai perlawanan selain melakukan beberapa serangan balas pantas.
Malah, ada ketika skuad Gajah Perang merasai tekanan dengan pemain sayap-bertahan (wingback) pasukan, Jimmy Raymond dan Adib Ra’op berjaya melakukan serangan bertali arus pada penghujung babak pertama.
Bersambung pada separuh masa kedua, Thailand menggandakan asakan dan berusaha untuk mencari gol pembukaan dalam usaha memburu kemenangan.
Tekanan yang diberikan akhirnya membuahkan hasil apabila sepakan Haziq terkena penyerang Thailand, Suphanat Muenta yang mudah melorongkan bola kepada Patrik Gustavsson pada minit ke-57.
Tersentak dengan gol tersebut, Malaysia berusaha untuk meraih gol penyamaan dan peluang terbaik hadir pada minit ke-67 dengan percubaan tepat Endrick ditepis penjaga gol tuan rumah, Patiwat Khammai.
Pau Marti memasukkan beberapa pemain seperti Paulo Josue, Fergus Tierney, Najmuddin Akmal dan Daryl Sham dalam usaha untuk merancakkan jentera serangan pasukan.
Namun, Thailand dapat bertahan dengan baik sehingga ke wisel penamat dengan percubaan terbaik hadir menerusi rembatan Josue tetapi Khammai sekali lagi menjadi wira Gajah Perang.
Kekalahan ini menyaksikan Malaysia berada di kedudukan ketiga dengan empat mata manakala Thailand kekal mendahului carta dengan enam mata.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan A, Singapura berjaya meraih kemenangan 3-0 ke atas Timor Leste untuk meraih enam mata selepas mengharungi dua perlawanan. – KOSMO! ONLINE