BANGKOK – Seorang pembantu rumah berusia 27 tahun dan ibu kepada dua anak berjaya menyimpan hampir 200,000 baht (RM26,000) selepas dua tahun walaupun pendapatannya cuma 12,000 baht (RM1,600) sebulan, lapor portal berita MSNews semalam.
Kisah wanita berkenaan viral selepas dia memuat naik video di platform TikTok menceritakan cara dia menjimatkan wang walaupun berpendapatan rendah.
Setiap bulan, dia membelanjakan 3,500 baht (RM457) untuk sewa rumah, 1,000 baht (RM130) bagi membeli peralatan dan kos internet 300 baht (RM39).
Selain itu, dia juga memperuntukkan 4,000 baht (RM522) untuk anak-anaknya.
Selepas menyelesaikan pelbagai perbelanjaan lain, wanita itu memperuntukkan kira-kira 2,000 baht (RM260) bagi kegunaan peribadi, manakala baki wang dimasukkan ke dalam simpanannya.
Ibu tersebut berkata, dia menjalani gaya hidup yang sangat berjimat demi masa depan anak-anaknya.
“Disebabkan mereka, saya perlu bekerja keras. Jika apa-apa berlaku kepada saya, sekurang-kurangnya mereka akan mempunyai simpanan ini,” katanya. – AGENSI