fbpx

K2

Himpunan eratkan ukhuwah pemancing wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Para peserta Lady Angler Mega Trip bergambar kenangan.

JIKA kita berbicara mengenai memancing, ia begitu sinonim dengan kaum lelaki, namun akhir-akhir ini hobi memancing turut menarik minat kaum Hawa.

Bukan sekadar memancing secara konvensional seperti pancingan dasar, atau teknik yang lebih ‘old school’, namun semakin ramai yang mula mempraktikkan teknik seperti mengilat dan jigging.

Selain itu, pemancing wanita mula kerap menyertai pertandingan-pertandingan memancing dari dalam dan luar negara. Acara-acara seperti Royal Pahang Billfish International Challenge, Monsoon Casting Terengganu antara pertandingan yang turut disertai oleh pemancing wanita.

Baru-baru ini sekitar penghujung November lalu, telah berlangsung satu acara yang menghimpunkan pemancing wanita di seluruh tanah air bertempat di Bagan Ajam, Pulau Pinang.

Acara ini diilhamkan oleh Nor Hidayah Alias atau lebih dikenali sebagai Yayers Toure dalam kalangan pemancing di era digital ini.

Yayers sememangnya dikenali sebagai pencipta kandungan memancing di laman-laman sosial.

Menurut Yayers, pada mulanya dia hanya ingin mengumpul peserta wanita seramai lima orang untuk satu acara memancing, dalam masa yang sangat singkat seramai 10 orang pemancing wanita yang menawarkan diri.

Azlina bersama ikan patipok seberat 2.8 kilogram yang berjaya ditawannya.

Bermula dari itu, terdetik untuk menganjurkan acara ‘Lady Angler Mega Trip’ dengan sasaran awal 25 orang peserta dan lima buah bot.

Namun, sambutan yang amat di luar jangka daripada para pemancing wanita, Yayers membuka pendaftaran sehingga 50 orang peserta dan penambahan bot.

Menariknya, penyertaan telah penuh dalam masa kurang daripada 48 jam.

Cik Ein dan Zie Zies antara nama besar dalam dunia memancing yang mewakili para pemancing wanita turut menyertai Mega Trip ini.

Yayers (kiri) menyampaikan hadiah kepada Azlina (tengah) selaku pemenang bagi acara Lady Angler Mega Trip di Bagan Ajam, Pulau Pinang baru-baru ini.

Acara ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan jenama barangan memancing tempatan serta luar negara.

Dengan mengetengahkan teknik pancingan dasar dan jigging, pemancing ikan terberat dikira sebagai pemenang.

Hadiah cabutan bertuah yang disediakan turut memeriahkan acara ini.

Azlina dari Selangor telah dinobatkan sebagai pemenang buat julung kalinya dengan ikan patipok atau pecah periuk seberat 2.8 kilogram.

Harapan Yayers sebagai penganjur, supaya Komuniti Lady Angler ini terus berkembang di masa hadapan.

“Untuk para pemancing wanita yang baharu atau sudah berkecimpung dalam dunia hanyir ini, boleh menyertai kami di laman Facebook atau di aplikasi WhatsApps,” ujar Yayers.

Selain itu, Yayers juga berharap pandangan tipikal yang menyatakan memancing hanya untuk lelaki harus diubah kerana semakin ramai wanita mula bergiat aktif dalam hobi ini dan berharap semua pihak dapat menyokong kaum wanita menceburi hobi ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI