KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menganggap perjalanan mereka masih belum selesai selepas mencipta kebangkitan dramatik untuk mengesahkan tempat ke pentas final Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024.
Lebih dramatik, gandingan yang terkenal dengan gelaran ‘DinFei’ dalam kalangan peminat badminton tanah air berada dalam detik mendebarkan apabila beberapa kali di ambang kekalahan sebelum menang 17-21, 21-16, 27-25 ke atas beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Juara Terbuka China itu boleh dianggap terselamat daripada ‘maut’ apabila Fajar-Rian enam kali berada di mata akhir pada set ketiga, namun mereka tidak mudah mengaku kalah apabila terus-menerus menyamakan kedudukan sebelum melengkapkan kemenangan bersejarah dalam aksi separuh akhir itu.
Kemenangan dalam tempoh 81 minit di Gimnasium Olimpik Hangzhou itu menyaksikan hadiah wang tunai AS$100,000 (RM445,062) selaku finalis sekurang-kurangnya sudah dalam genggaman beregu No. 7 dunia itu.
“Kami mengharungi musim yang cukup hebat tahun ini tetapi perjuangan masih belum selesai kerana kami perlu memberikan sepenuh fokus untuk perlawanan (akhir) esok,” kata Sze Fei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Kejayaan tersebut menjadikan Sze Fei-Izzuddin yang membuat debut di pentas Jelajah Dunia Akhir, kini menjadi beregu pertama negara melangkah ke pentas final kejohanan yang mula dianjurkan sejak 2018 itu.
Lawan mereka di pentas final esok sama ada beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen atau satu lagi wakil Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dengan hadiah wang tunai AS$210,000 (RM934,631) menanti pemenang perlawanan akhir tersebut. – KOSMO! ONLINE