fbpx

Eksploitasi rakan senegara cari kerja, 3 warga Bangladesh ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zakaria

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki warga Bangladesh yang disyaki dalang utama dalam sindiket pemerdagangan orang melibatkan rakan senegara, tumpas dalam Operasi Khas di tiga lokasi sekitar Cheras, di sini, 11 November lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, risikan dijalankan selama dua minggu itu membawa penahanaan suspek berusia 35 hingga 38 tahun.

Katanya, operasi yang bermula pada pukil 9.11 malam melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dengan kerjasama Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Berdasarkan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke premis tersebut dan berjaya menahan tiga lelaki warga Bangladesh dipercayai sebagai ‘dalang utama’.

“Selain itu, kita juga menahan warga Bangladesh dipercayai pasangan kepada salah seorang ‘dalang utama’ berusia 32 tahun,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pasukan operasi berjaya menyelamatkan 11 lelaki Bangladesh yang dipercayai sebagai mangsa eksploitasi berusia lingkungan 30 hingga 38 tahun yang diperdagangkan untuk mendapatkan keuntungan.

Turut dirampas 17 naskhah pasport warga Bangladesh, 20 unit telefon bimbit, wang tunai RM800 dan USD800, sebuah kereta Proton Gen 2 dan kereta Proton X70.

“Suspek berperanan sebagai penjaga premis dan kita percaya sindiket ini telah beroperasi selama tiga bulan.

“Modus operandi sindiket adalah membawa masuk rakan senegara yang ingin mencari pekerjaan di negara ini dengan sebagai pelancong melalui pintu masuk udara dan segala urusan pasport, visa dan tiket penerbangan mangsa diuruskan oleh sindiket.

“Seterusnya, mangsa akan dibawa dan ditempatkan di ‘rumah transit’ manakala kadar bayaran yang dikenakan oleh sindiket adalah sebanyak RM15,000 untuk setiap orang dan tambahan RM5,000 seorang untuk membolehkan mangsa keluar dari ‘rumah transit’,” katanya.

Katanya, suspek ditahan kerana kesalahan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan
Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Sementara, kekasih salah seorang suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat untuk tujuan dokumentasi.

“Imigresen akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI