PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat dan angin kencang di Terengganu, Pahang, Johor dan Sarawak sehingga pukul 7 malam ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, cuaca buruk di Terengganu diramalkan di Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman, manakala Pahang di Jerantut dan Kuantan.
Sementara itu, keadaan sama turut dijangka melanda Mersing dan Kota Tinggi di Johor, serta Sibu (Selangau), Mukah (Dalat dan Mukah), Bintulu dan Miri (Subis) di Sarawak.
Bagaimanapun, cuaca cerah dan baik diramalkan di sekitar Lembah Klang, Sabah dan Labuan petang ini.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan banjir kilat, tanah runtuh dan risiko pokok tumbang berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu. – KOSMO! ONLINE