fbpx

‘Buku Ajal’ rejim Presiden Bashar al-Assad ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DAMSYIK – Sebuah buku menyimpan nama 29,000 orang yang dibunuh di penjara ‘penyembelihan manusia’ Sednaya semasa pemerintahan kukus besi Presiden Syria, Bashar al-Assad telah ditemui, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Rejim Bashar tumbang Ahad lepas dengan beliau dan keluarganya diberikan suaka politik di Russia.

Tentera pemberontak Syria menemui apa yang digelar sebagai ‘Buku Ajal’ ketika menggeledah Penjara Sednaya di Damsyik di mana mayat-mayat yang diseksa dan timbunan kain lama turut dijumpai.

Satu rakaman video memaparkan askar-askar pemberontak membongkar dokumen tebal itu yang mengandungi 29,000 nama banduan hukuman mati.

Sekurang-kurangnya 10 peju­ang pemberontak berkumpul di sekeliling buku itu. Mereka terkejut menyelak helaian muka surat dan melihat beratus-ratus nama individu yang dibunuh, berselerakan di setiap halaman.

Dalam klip video itu, seorang lelaki bercakap mengenai penemuan mengejutkan itu, juga melibatkan pelbagai dokumen lain yang tidak sempat dimusnahkan oleh tentera Bashar.

Lelaki Syria itu menerangkan bahawa kumpulan pemberontak merancang untuk menggunakan setiap nama yang tertera dalam buku tersebut untuk mencari waris si mati bagi memaklumkan berita tragis tentang kematian orang tersayang mereka.

Pemberontak itu menegaskan: “Kumpulkan (dan) pastikan mereka (buku) selamat.”

Dalam detik yang menyayat hati itu, lelaki sama membaca dengan kuat senarai nama, tarikh lahir dan kaedah mengerikan yang digunakan untuk membunuh individu yang tersenarai dalam buku keji itu.

Dia juga menunjukkan ba­gaimana ‘pembunuhan di lapangan’ direkodkan dalam buku itu sebelum memberitahu rakan-rakan pemberontak lain berhati-hati untuk tidak mengoyak atau memusnahkan helaian kertas itu.

“Kita mesti menyimpan dan memulihara ‘ harta benda’ ini.

“Rejim Bashar telah meme­cahkan kamera dan memusnahkan cakera keras supaya jenayah mereka tidak akan didedahkan tetapi terlupa akan buku ini,” katanya dengan nada tegas.

Pemberontak Syria meneruskan siasatan ke dalam penjara Sednaya susulan pembebasan sejumlah ahli keluarga yang telah lama menghilang setelah kejatuhan pemerintahan Bashar.

Penjara terkenal kerana kekejaman berhampiran Damsyik itu digelar sebagai ‘Rumah Penyembelihan Manusia’. Ia adalah pusat keganasan sistematik di mana sejumlah besar tahanan dikenakan segala bentuk layanan tidak berperikemanusiaan dan dihukum bunuh.

Rakaman video dan imej yang diterbitkan minggu ini menunjukkan anggota-anggota penyelamat menarik keluar berpuluh-puluh beg mengandungi mayat reput dari penjara itu.

Bagi kebanyakan tahanan, mimpi ngeri mereka bermula sejurus selepas ditangkap. Kebiasaannya, mereka dipukul secara ganas semasa dalam perjalanan ke penjara Sednaya.

Peralatan penyeksaan aneh yang digelar ‘permaidani terbang’ menyaksikan banduan dibelenggu pada papan fleksibel yang dibelah dua oleh engsel logam berantai

Pengawal penjara kemudian akan mengangkat separuh bahagian bawah papan dan melipat kaki banduan perlahan-lahan dan meremukkannya dalam kedudukan yang mengerikan.

Rejim Bashar yang berkuasa sejak tahun 2000 sebelum ini menafikan membunuh beribu-ribu tahanan di Sednaya dan menggunakan krematorium rahsia untuk membuang mayat mereka pada 2017. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI