TUMPAT – Penduduk di Kampung Nechang di sini gempar dengan kemunculan seekor buaya dianggarkan sepanjang dua meter di kawasan sawah padi di kampung tersebut selepas banjir surut semalam.
Kakitangan awam, Mohd. Azam Jusoh berkata, dia menerima maklumat mengenai penemuan buaya berkenaan menerusi kumpulan WhatApps penduduk kampungnya kira-kira pukul 6 petang.
“Saya yang kebetulan berada di sekitar sawah itu terus bergegas ke kawasan tersebut sebelum melihat seekor buaya timbul di permukaan air. Saya dan sepupu sempat merakam video buaya yang dipercayai datang dari Sungai Pangkalan Nangka di sini.
“Kami percaya reptilia itu mungkin dibawa oleh arus dari Sungai Pangkalan Nangka ke sungai di kampung semasa banjir gelombang pertama baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mohd. Azam berkata, dia difahamkan buaya tersebut berenang ke arah sungai yang lebih besar di Sungai Nechang kira-kira pukul 1 pagi tadi dan pihak bomba turut hadir ke kawasan sawah itu petang semalam selepas menerima maklumat. – KOSMO! ONLINE