PONTIAN – Kesilapan pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia yang memakai jersi memaparkan bendera Malaysia secara terbalik pada perlawanan pertamanya di Jelajah Dunia Akhir BWF 2024, tiga hari lalu sebagai kesilapan ketara.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berpandangan biarpun pemain ranking lapan dunia itu telah mengemukakan permohonan maaf, namun kesilapan itu disifatkan sebagai kecuaian yang kritikal.
Menurut beliau, rakyat Malaysia perlu sentiasa bersederhana dan biar pihak berkuasa ambil tindakan, dipihak Lee Zii Jia telah ada permohonan maaf.
“Pada saya itu satu kesilapan ketara, baju yang akan dipakai oleh pemain yang cukup dikenali dan mewakili negara membawa bendera Malaysia. Saya anggap itu satu kecuaian yang kritikal. Kita ambil maklum,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan kerja meninjau tapak projek Prove of Concept (POC) Tarana di Dewan Masyarakat Kampung Seri Bunian, di sini, hari ini.
Namun setakat ini, Fahmi memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung komen menyentuh sensitiviti tentang perkara ini.
“Sekiranya ada siasatan kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.
“Cuma nasihat saya dalam kes bukan hanya seperti ini, mana-mana kes sekalipun pengguna internet, media sosial berpada-pada meletakkan komen, kadang kala komen boleh disalah erti dan kita tidak mahu ada satu keadaan dia mengapi-apikan.
“Biarlah kita ambil tindakan bersesuaian, kita nak situasi seperti ini tidak berulang itu yang kita harapkan,”katanya.
Terdahulu, Zii Jia dihimpit kontroversi apabila dengan jelas di kaca televisyen, pemain itu memakai jersi dengan Jalur Gemilang ditampal di bahagian kiri baju dalam keadaan terbalik.
Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dilaporkan berkata pihaknya akan merangka satu kod baharu berkaitan etika pemakaian atlet termasuklah membabitkan penggunaan Jalur Gemilang pada pakaian mereka.
Beliau berkata langkah itu bagi mengelakkan insiden sama berulang membabitkan penggunaan Jalur Gemilang termasuk yang terbaharu membabitkan Zii Jia. – KOSMO!ONLINE.