LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta tidak risau dengan kesukaran pasukannya untuk menjaringkan gol daripada corak permainan terbuka menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Everton di Stadium Emirates malam ini.
The Gunners dianggap sebagai pasukan anti bola sepak apabila lebih banyak bergantung kepada jaringan menerusi situasi bola mati, terutamanya gerakan set piece daripada sepakan penjuru berbanding menjaringkan gol padang.
Bagaimanapun, Arteta tidak kisah dengan sebarang gelaran yang diberikan kepada pasukannya kerana menganggap sepakan penjuru adalah hasil daripada tekanan diberikan terhadap pasukan lawan.
“Saya langsung tidak bimbang dengan kekurangan gol daripada jaringan padang kerana kami sebenarnya mencipta banyak peluang berbanding pasukan lawan. Jadi, apa lagi yang perlu kami lakukan.
“Sepakan penjuru adalah rentetan daripada tekanan yang kami berikan kepada pasukan lawan semasa aksi padang. Selain itu, ia juga adalah sebahagian daripada bola sepak, oleh itu saya gembira dengannya,” katanya.
Sebagai rekod, Arsenal sudah menjaringkan lebih banyak gol menerusi sepakan penjuru berbanding pasukan lain sejak musim lalu apabila sudah menghasilkan 23 gol, termasuk empat gol dalam tiga perlawanan terakhir liga.
“Saya tahu ada pihak membeza-bezakan gol padang dan set-pieces tetapi saya anggap ia sebagai perkara yang sama. Saya menghormati pandangan mereka tetapi saya mahu pasukan menjaringkan gol dalam setiap situasi,” ujar Arteta. – AGENSI