fbpx

Aksi ‘terbang’, cedera rusuk berbaloi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SOON HUAT (kanan) dan Shevon mara ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan B di belakang Tang Jie-Ee Wei.

KEKALAHAN set pertama langsung tidak menghalang beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai daripada mencatat kemenangan dalam aksi terakhir Kumpulan B Kejohanan Badminton Jelajah Dunia (WTF) 2024.

Pada perlawanan di Hangzhou, China semalam, pasangan suami isteri itu dipaksa bermandi peluh sebelum menewaskan Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja dari Indonesia 17-21, 21-15, 21-14 bagi menempah slot ke separuh akhir.

Kemenangan itu sesuatu yang berharga buat mereka kerana perlu berdepan laluan sukar termasuk menyaksikan Soon Huat terpaksa menerima rawatan di tepi gelanggang akibat kecederaan rusuk pada set ketiga.

Ia ekoran tindakan Soon Huat melayangkan badan bagi menyelamatkan pukulan lawan ketika sedang mendahului 8-5 yang menyebabkannya mengalami kesukaran bernafas sehingga diberikan bantuan oleh pasukan perubatan.

“Ketika dia merebahkan badan, mungkin rusuknya ada terkena gelanggang, jadi belum pasti 100 peratus keadaannya sekarang. Bagaimanapun, saya tabik kerana dia sentiasa mahu teruskan permainan.

“Saya juga sangat gembira kerana tidak jangka dapat melangkah jauh jika dilihat pada undian. Memang ada peluang tetapi tidak letak harapan terlalu tinggi,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.

Menerusi kemenangan itu, Soon Huat-Shevon muncul naib juara Kumpulan B dan mengiringi rakan senegara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menewaskan beregu Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 21-17, 21-18.

Tambah Shevon, hadiah wang tunai menjadi suntikan semangat untuk melangkah jauh pada penampilan kedua di WTF dalam usaha mereka membuat perancangan menghadapi musim depan.

“Hadiah wang tunai menjadi pembakar semangat untuk kami kerana sebagai pemain profesional, semua orang tahu kami perlu ada dana sendiri. Ia akan membantu kami membuat perancangan, terutamanya untuk tahun depan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI