ALOR SETAR – Sebanyak 353 premis Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara mengalami kerosakan melibatkan kerugian bernilai RM6 juta berikutan bencana banjir yang melanda beberapa negeri, bermula penghujung November lalu.
Ketua Pengarah Kemas, Datuk Hanafiah Man berkata, premis terjejas merangkumi 339 taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) dan taman asuhan kanak-kanak (Taska), 11 premis pendidikan kemahiran serta tiga pusat kegiatan masyarakat (PKM).
Tambahnya, kesemua 353 premis tersebut terletak di lapan negeri iaitu Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor dan Sarawak.
“Perkara ini telah diangkat ke Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk dibawa ke Kementerian Kewangan. Alhamdulillah, semalam, secara prinsipnya kita sudah menerima peruntukan untuk kerja-kerja baik pulih tabika serta taska terlibat.
“Peruntukan itu akan mula ‘diturunkan’ minggu depan bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih itu dilaksanakan segera. Lebih 93 peratus Tabika dan Taska sudah sudah boleh diselesaikan kerja baik pulihnya dalam masa terdekat namun ada juga premis mengalami kerosakan teruk terutamanya di Kelantan.
“Di beberapa premis, kita sedang melaksanakan proses untuk menentukan tahap keselamatan bangunan terjejas. Perkara itu akan menjadi keutamaan kami dalam memastikan keselamatan pelajar, guru serta petugas terlibat,” katanya dalam sidang akhbar ketika mengadakan lawatan ke Tabika Kemas Alor Gunung dekat sini.
Bersandarkan data diperolehi, kebanyakan tabika dan taska terjejas terletak di Kelantan iaitu sebanyak 212 premis diikuti Terengganu melibatkan 96 premis dan Kedah sebanyak 19 premis.
Keadaan itu sekali gus menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) 7,673 pelajar terjejas.
Sementara itu Hanafiah berkata, pihaknya bersama KKDW sedang mengusahakan sesuatu agar program pra tahfiz yang dilaksanakan di Tabika Kemas ketika ini, dapat diteruskan kepada para pelajar meskipun mereka sudah menginjak ke sekolah kebangsaan. -KOSMO! ONLINE.