TUMPAT – Sebanyak 200 kenderaan yang tenggelam banjir di daerah ini baru-baru ini menerima perkhidmatan trak tunda percuma untuk membawa kenderaan mereka ke bengkel.
Program Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Group Towing, Carier Kelantan dan 4X4 Kelantan itu dianjurkan di Pantai Sri Tujuh, di sini hari ini.
Seorang guru, Mazni Yahya, 50, berkata, lima kenderaan mengalami kerosakan 100 peratus selepas dia tidak sempat mengalihkan hartanya itu kerana air naik dengan cepat kira-kira dua minggu lalu.
Menurutnya, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton X90 bersama Perodua Viva, Perodua Kancil, Proton Saga dan Perodua Axia miliknya habis tenggelam dalam kejadian banjir di Tumpat.
“Selepas banjir surut, lima kenderaan saya itu mengalami kerosakan 100 peratus dan perlu ditunda ke bengkel. Saya baru beli Proton X90 itu tidak sampai setahun lalu.
“Syukur ada program tunda kenderaan percuma ini kerana ia sekurang-kurangnya dapat meringankan beban saya yang sudah menanggung kerugian akibat banjir,” katanya ketika ditemui di Pantai Seri Tujuh, di sini hari ini.
Sementara itu, Penasihat Persatuan Trak Tunda Kelantan dan Terengganu, Wan Mohd. Ezani Wan Hassan berkata, pihaknya menyediakan 70 trak tunda dari Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur untuk program itu.
Menurutnya, pihak persatuan akan membantu menunda 200 pelbagai jenis kenderaan untuk dihantar ke bengkel di sekitar daerah ini dan Kota Bharu secara percuma. -KOSMO! ONLINE.