KUALA LUMPUR – Bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther akan mengemukakan representasi untuk mengugurkan semua pertuduhan yang dihadapinya.
Muhammmed Yusoff, 31, berdepan dua pertuduhan mengedar kanabis seberat 305 gram dan memiliki dua pucuk pistol tiruan.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff berkata, representasi itu akan difailkan kepada Peguam Negara (AG) dalam masa terdekat selepas meneliti dokumen yang diperoleh daripada pihak pendakwaan.
“Bagi kedua-dua kes ini (dadah dan senjata tiruan) kita mohon untuk digugurkan dan tidak diteruskan langsung…DNA (lepas dan bebas) bukan DNAA (lepas tanpa bebas),” katanya ketika ditemui selepas sebutan kes di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Terdahulu, dalam prosiding di hadapan Majistret M. S Arunjothy, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk kes Muhammed Yusoff yang dituduh memiliki dua pucuk pistol tiruan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Pada 9 Oktober lalu, Muhammed Yusoff mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara pada pukul 9.25 pagi, 6 September lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.
Sementara itu, pada prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin, mahkamah menetapkan 7 Januari 2025 untuk pengurusan kes bagi serahan semua dokumen kepada pihak pembelaan.
Pada 5 Disember lalu, Muhammed Yusoff mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan mengedar kanabis seberat 305 gram selepas kes dipindahkan ke mahkamah berkenaan.
Muhammed Yusoff itu didakwa mengedar dadah itu dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pukul 10.15 pagi pada 6 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan. – KOSMO! ONLINE