MIRI – Tengkorak dan beberapa tulang manusia ditemukan di kawasan semak Batu 7, Jalan Miri-Bintulu.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, rangka manusia yang tidak sempurna itu dijumpai oleh seorang lelaki kira-kira pukul 5 petang semalam yang kemudian melaporkan kepada polis.
“Siasatan awal pihak polis mendapati terdapat beberapa tulang dalam keadaan berkelompok dipercayai rangka manusia.
“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai dan setakat ini identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menambah siasatan di tempat kejadian juga setakat ini menunjukkan tiada apa-apa unsur jenayah.
Justeru, Alexson meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau ahli keluarga, saudara mara dan rakan yang hilang untuk tampil ke balai polis yang berdekatan atau menghubungi talian 085-433730 untuk menyalurkan maklumat berkaitan.- KOSMO! ONLINE