PETALING JAYA – Tempoh tiga jam yang diberikan seorang peguam terkenal kepada pihak yang mendakwa ibu bapa kepada mayat bayi lelaki yang ‘ditahan’ dalam peti mayat di sebuah hospital swasta sebagai tidak bernikah di media sosial, sudah berakhir.
Berdasarkan pemerhatian Kosmo! di media sosial hospital swasta berkenaan pada pukul 2.40 petang ini, didapati hantaran tersebut masih belum dipadamkan.
Kosmo! semalam melaporkan, peguam berkenaan, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar berkata, bapa bayi tersebut kini merupakan anak guamnya dan beliau telah melihat sijil nikah anak guamnya daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
“Berkenaan sijil nikah anak guam, kami sudah lihat (sijil nikah). Ia satu bukti yang kukuh. Tindakan (terhadap) fitnah sedang dilakukan. Pihak mendakwa anak guam kami tidak bernikah, kami beri tiga jam untuk padam.
“Kami sudah kenal pasti mereka yang buat live di TikTok dan sebagainya. Kita akan lihat siapa yang kena,” katanya menerusi siaran langsung bersama bapa Muhammad Adham Mikail, jenazah bayi yang dibeku 16 hari di TikTok malam ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan satu mayat bayi lelaki didakwa ‘ditahan’ dalam peti mayat di sebuah hospital swasta kira-kira 16 hari, dipercayai selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk menuntut jenazah.
Kisah pilu itu dimuat naik pada Facebook pengurusan jenazah Islam Mr Wan Chai Official yang mengambil tanggungjawab untuk menguruskan jenazah bayi berkenaan. – KOSMO! ONLINE