MELAKA – Sepasang suami isteri dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mencuri dan bersubahat memiliki 54 tabung derma milik madrasah sejak November lalu.
Majistret Nor Syaliati Mohd. Sobri menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh, Nuruddin Hasbullah Zainal, 33, dan isterinya, Syaidatul Nor Syahidra Firdaus, 35. Pasangan itu menghadapi lima pertuduhan.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka didakwa memiliki 21 dan 33 tabung tabung derma dan gagal memberikan penjelasan yang memuaskan kepada pihak berkuasa bagaimana barangan itu diperoleh.
Tertuduh juga didapati bersubahat memiliki tabung derma Madrasah Darul Tolabah dan Huffaz Melaka disyaki harta curi tanpa alasan munasabah.
Kesalahan itu dilakukan pada pukul 12.10 pagi di sebuah rumah dan but kereta Perodua Bezza di Amber Cove Residence di sini pada 4 Disember 2024.
Sementara itu, Nuruddin Hasbullah turut mengaku bersalah kerana memiliki curi tabung derma Madrasah Tahfiz Al-Quran Desa Darul Naim Kasih, Sungai Rambai di kedai menjual buah-buahan di Lorong Pandan pada pukul 11.30 malam, 11 November lalu.- KOSMO! ONLINE