PETALING JAYA – Subjek sejarah menjadi kering dan membosankan andai hanya terlipat sebagai buku teks yang dihafal dalam bilik darjah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, murid sekolah perlu diasuh menerokai terowong peredaran zaman yang berabad-abad melalui artifak, manuskrip dan karya seni sejarah.
“Di sini kita sedar dari mana kita berasal dan ke mana kita menuju pada masa akan datang. Segala kegemilangan dan keagungan sejarah bukan asas untuk kita menjadi angkuh.
“Sebaliknya menginsafkan untuk belajar daripada tokoh-tokoh sejarah lantas melonjakkan martabat bangsa pada zaman kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Fadhlina berkata, sejarah menyaksikan Islam berkembang bukan sahaja merentasi rantau, tetapi melangkaui batas kaum, budaya dan bahasa.
Menurut beliau, umat Islam perlu menyahut cabaran untuk menjadikan Islam bukan sahaja agama yang dianuti, tetapi juga dihormati dalam kalangan bukan muslim.
“Inilah yang bermain dalam otak saya, ketika hadir dalam Majlis Peluncuran Pameran “Samudera Berbicara: Pembentukan Dunia Melayu-Islam di Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM), Kuala Lumpur semalam.
“Pameran ini akan berlangsung bermula 13 Disember 2024 sehingga 15 Jun 2025,” katanya. – KOSMO! ONLINE