SHAH ALAM – Program Tunas Niaga (PROTUNe), yang dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sejak 1998 telah berjaya melonjakkan kemahiran usahawan dalam kalangan para pelajar sekolah.
Ini terbukti menerusi kejayaan demi kejayaan yang dicapai, antaranya menghasilkan kutipan jualan sebanyak RM31.5 juta dan penubuhan 1,182 syarikat, melibatkan 29,300 pelajar dengan 2,442 guru pembimbing sepanjang tempoh 26 tahun pelaksanaannya.
Malah pada tahun ini sahaja pendapatan keseluruhan direkodkan PROTUNe adalah sebanyak RM2.6 juta, melibatkan 49 buah syarikat yang melaksanakannya menggunakan modul fizikal dan pembelajaran dalam talian.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, impak positif PROTUNe antaranya mendidik pelajar menjadi pemimpin dan melatih mereka membina jati diri dengan nilai tanggungjawab, disiplin dan kemahiran.
Katanya, Selangor mempunyai ekosistem keusahawanan cukup besar dan PKNS sentiasa membantu mengetengahkan usahawan tempatan antaranya melalui ekspo sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Dunia keusahawanan ini bukan sesuatu yang mudah namun kalau tahu cara, dapat kuasai teknik dan strategi, kita mampu berjaya sehingga boleh bergelar jutawan.
“Para peserta PROTUNe perlu manfaatkan ilmu yang dipelajari bukan hanya di peringkat sekolah, malah ketika menjadi mahasiswa dan berada di alam pekerjaan.
“Ilmu keusahawanan bukan statik sebaliknya sentiasa berkembang. Namun, kamu (para pelajar) perlu sentiasa bina jaringan dan cari peluang. Sekarang mungkin usahawan tunas namun pada masa depan akan menjadi usahawan yang profesional,” katanya ketika berucap pada majlis Konvensyen PROTUNe 2024 di Dewan Aster, Ibu Pejabat PKNS di sini baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Sabak Bernam diumumkan sebagai penerima Anugerah Sekolah Terbaik 2024, manakala Anugerah Syarikat Terbaik diraih Nusa Gading Sdn. Bhd. dari SMK Bukit Gading.
Sementara itu, Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS, Yuzawati Yusof menjelaskan, PROTUNe menyerlahkan komitmen dan usaha peserta menjayakan perniagaan masing-masing, yang merangkumi produk makanan dan minuman, kraftangan, pakaian serta perkhidmatan seperti pos, fotografi dan penghantaran.
Ujarnya, antara kejayaan PROTUNe yang paling membanggakan adalah apabila 31 reruai jualan program berkenaan telah menjana jualan keseluruhan sebanyak RM55,924.90 sepanjang tempoh tiga hari di Karnival Usahawan PKNS (KUP) yang berlangsung pada Ogos lalu.
Angka tersebut mewakili 12 peratus daripada keseluruhan nilai jualan KUP iaitu RM464,823, yang melibatkan 123 reruai.
“Apa yang diharapkan adalah penglibatan sebegini memberi peluang kepada usahawan tunas PROTUNe untuk melihat sendiri bagaimana usahawan-usahawan sebenar menjalankan perniagaan, khususnya dalam penyertaan ekspo,” katanya.
Mengulas lanjut, Yuzawati berkata, ilmu pengurusan syarikat yang diterapkan dalam modul PROTUNe seperti pengurusan kewangan, pentadbiran, pemasaran dan pengeluaran amat penting untuk dipelajari dalam memastikan perjalanan operasi syarikat lebih teratur dan berdaya maju.
“Usahawan muda yang dilahirkan melalui PROTUNe bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi sekolah, tetapi juga berpotensi menjadi penyumbang kepada ekonomi Selangor dan negara pada masa depan,” katanya.
Jadi pemimpin, bukan bos – CEO PROTUNe 2024
BERPEGANG kepada konsep menjadi pemimpin dan bukan bos merupakan resipi kejayaan Syarfiqar Batrisyia Zaini, 16, apabila dinobatkan Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Program Tunas Niaga (PROTUNe) tahun ini.
Pelajar tingkatan empat aliran perakaunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gading, Sungai Buloh itu memaklumkan, dia mementingkan ‘keseronokan’ bersama rakan-rakan sekolahnya ketika melaksanakan perniagaan di bawah program tersebut.
Katanya, hal ini mampu mewujudkan semangat kekeluargaan dan kebersamaan dalam pasukan, sekali gus membolehkan setiap arahan diberi mampu dijayakan sebaiknya.
“Walaupun diberikan tanggungjawab sebagai CEO, saya tidak mahu ia menjadi penghalang hubungan dengan rakan-rakan sekolah.
“Jadi, saya beradaptasi sebaiknya terutama dalam mengekalkan kejuaraan tiga tahun berturut-turut bagi Anugerah Syarikat Terbaik,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas Konvokesyen PROTUNe, baru-baru ini.
Bagi Pengetua SMK Munshi Abdullah, Sabak Bernam, Iskandar Muriani, kejayaan merangkul juara Anugerah Sekolah Terbaik umpama kemunculan semula selepas kali terakhir memenanginya pada 2021.
Ujarnya, pencapaian itu turut membuktikan sekolah di luar bandar mampu bersaing sekiranya diberikan peluang dan ruang bagi menonjolkan kemampuan.
“Sebelum ini, kami pernah menang beberapa kali sejak 2016, selain turut bergelar Johan Produk Kreatif di peringkat kebangsaan pada 2020.
“Sejak menjadi pengetua sekolah pada Disember tahun lalu, saya menerapkan cogan kata ‘Munshi Hebat’ bagi menerapkan kejayaan dalam semua aspek termasuk keusahawanan,” ujarnya.
Jelas beliau, pihaknya turut merancang untuk mengetengahkan lagi produk PROTUNe mereka, iaitu sambal pecal dan cemilan Jawa (sambal goreng) ke luar negeri ini bagi menaikkan imej sekolah.
Sementara itu, penerima Anugerah Guru Pembimbing Terbaik, Norlidza Jari, 53, amat menekankan aspek kejujuran dalam perniagaan kepada pelajarnya dan bukan sekadar keuntungan semata-mata.
“Sekiranya ada barang ‘defect’, saya akan meminta para pelajar untuk memulangkan wang pembeli. Ini agar perniagaan dijalankan mendapat berkat.
“Saya menyertai semula PROTUNe pada 2019 selepas ‘bersara’ buat beberapa ketika kerana sayang sekiranya sekolah tidak menyertai program ini yang banyak mendidik tentang ilmu keusahawanan,” kata guru subjek ekonomi SMK Rantau Panjang, Klang itu.
Senarai Pemenang PROTUNe 2024
- Anugerah Harapan E-Protune: SMK Bandar Sunway
- Anugerah Harapan: SMK Rantau Panjang
- Anugerah Perkhidmatan Terbaik: SMK Jalan Kebun
- Anugerah Produk Kreatif Terbaik: SMK Abdul Jalil
- Anugerah Produk Inovasi Terbaik 2024: SMK Munshi Abdullah
- Anugerah Laporan Kewangan Terbaik: SMK Bukit Gading
- Anugerah Persembahan Terbaik 2024: SMK Munshi Abdullah
- Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik 2024: Syarfiqar Batrisyia Zaini (SMK Bukit Gading)
- Anugerah Guru Pembimbing Terbaik: Norlidza Jari (SMK Rantau Panjang)
- Anugerah Syarikat Terbaik: Nusa Gading Sdn. Bhd. (SMK Bukit Gading)
- Anugerah Sekolah Terbaik: SMK Munshi Abdullah