ALOR SETAR – Kedah Darul Aman FC menepati ramalan apabila menewaskan KL Rovers FC 3-0 di Stadium Darul Aman sebentar tadi, untuk membawa bekalan selesa dalam aksi kedua suku akhir Piala Cabaran di tempat lawan pada 22 Disember depan.
Minit ke-20, giliran pertahanan KL Rovers, Faris Zambri pula melakukan kesilapan. Dia cuba menanduk bola sepakan percuma pemain sayap KDA FC, Shukrob Nurulloev namun tindakan itu gagal menyelamatkan keadaan sebaliknya menyebabkan bola mengenai tiang gol sebelah kiri pasukan pelawat.
Gol yang dinantikan akhirnya tiba dua minit kemudian apabila kapten baharu mereka, Cleylton Santos melakukan tandukan yang menerjah jaring, sebaik menerima bola hasil sepakan percuma dilakukan Nurulloev.
Memasuki babak kedua, KDA FC memiliki peluang menggandakan jaringan seawal minit ke-46 apabila Amirul Hisyam Awang Kechik melalui sepakan percuma, namun berjaya ditampan penjaga gol KL Rovers, Asyraaf Omar.
Jaringan kedua yang dicari tuan rumah akhirnya terhasil pada minit ke-62. Penyerang muda KDA FC, Aiman Afif Afizul yang tenang melakukan sepakan leret dari dalam kotak penalti bagi menewaskan Asyraaf yang seakan terpaku melihat bola berada jauh dari jangkauannya.
Tindakan Victor memasukkan penyerang dari Serbia, Milos Gordic pada minit ke-74 bagi menggantikan Nurulloev nyata menambah sengat di bahagian serangan.
Hanya tiga minit berselang, dia memulakan gerakan cantik bagi menghantar bola kepada Fayyadh Zulkifli sebelum bekas pemain kebangsaan itu melakukan hantaran kepada Ebenezer, untuk disudahkan dengan tolakan kaki kiri yang menghadirkan gol ketiga buat Sang Kenari. – KOSMO! ONLINE