PETALING JAYA – Pendekatan bermuasyarah dengan maaruf dalam rumah tangga sebagaimana penegasan dalam lafaz takliq surat nikah umat Islam mesti dipertegaskan semula bagi menangani keganasan terhadap wanita di negara ini.
Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat, Fadhlina Sidek berkata, terdapat beberapa isu rencam perlu ditangani segera bagi menangani keganasan “femicide” yang semakin memuncak dan membimbangkan tersebut.
“Pertama, isu akses kepada keadilan yang sepatutnya semua orang dijamin keselamatan dan hak mereka tanpa mengira gender, status sosial dan taraf kewarganegaraan.
“Kedua, kita semua berpotensi dan terdedah menjadi pemandiri keganasan rumah tangga. Sebab itu, menyikapi kes keganasan rumah tangga harus konsisten.
“Hentikan melabel, menjadi penaja stigma kepada naratif menyalahkan pemandiri keganasan rumah tangga. Seperti biasa kita akan mendengar kena pukul sebab tak layan suami elok-elok,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan berkata, isu ketiga yang perlu ditangani membabitkan pemahaman masyarakat terhadap isu keganasan rumah tangga dengan kefahaman yang betul dan adil.
Ujar beliau, dalam semua isu keganasan berasaskan gender, isunya adalah ketidakseimbangan kuasa dan kawalan, maka kitaran keganasan berterusan kerana dua faktor itu.
Katanya, isu keempat adalah ‘double legal burden’ kepada pemandiri keganasan rumah tangga yang terpaksa melalui pelbagai prosiding undang-undang termasuk urusan di Mahkamah Syariah bagi yang beragama Islam.
“Kelima, peranan agamawan yang harus bersama membawa naratif menolak keganasan dalam rumahtangga dengan memperkukuh agenda qawwam, sakinah, mawaddah dan rahmah,” katanya.
Terdahulu, beliau memetik bait lagu lantunan Ernie Zakri bertajuk ‘Masing-masing’ yang disifarkan sangat mendalam bagi mengupas maksud penderitaan mangsa keganasan rumah tangga.
“Kita mulakan dengan bait lirik “Aku tak kau anggap ada cerita, Aku tak kau anggap ada derita”,” katanya. – KOSMO! ONLINE