KUALA LUMPUR – Perbuatan seorang pengawal peribadi dan rakannya menyamar sebagai anggota polis ketika samun terbongkar selepas mereka ditahan di sebuah rumah di Taman Usahawan Kepong, di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada wanita warga Indonesia pada pukul 11 malam.
Katanya, mangsa berusia 40 tahun itu memaklumkan, dua individu memperkenalkan diri sebagai anggota polis untuk melakukan pemeriksaan di rumahnya.
“Mangsa yang curiga dengan tindakan suspek segera menghubungi Balai Polis Kepong bagi mendapatkan bantuan. Bagaimanapun, suspek merampas telefon bimbit milik mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul di sini, hari ini.
Ahmad Sukarno berkata, sepasukan polis kemudian menyerbu lokasi kejadian dan menahan suspek berusia 42 dan 55 tahun.
Salah seorang suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan, manakala seorang lagi tidak bekerja.
Polis merampas sepucuk pistol jenis CZ75, 10 butir peluru, lesen senjata api milik syarikat kawalan keselamatan dan dua telefon bimbit.
“Siasatan mendapati senjata api itu milik syarikat kawalan keselamatan dan dipercayai digunakan untuk tujuan pemerasan. Suspek tidak memakai pakaian seragam polis dan hanya memperkenalkan diri sebagai anggota secara lisan.
“Semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod dadah,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata api dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Ahmad Sukarno berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu adalah yang pertama kali dilakukan suspek. Mereka direman selama enam hari bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE.