LA PAZ, Bolivia – Penduduk bandar El Alto di Bolivia mempertaruhkan nyawa kerana tinggal di dalam deretan bangunan kediaman digelar ‘rumah bunuh diri’, terletak di tebing sebuah cerun yang tinggi, lapor laman berita MailOnline semalam.
Deretan kediaman dibina daripada struktur rapuh kelihatan ‘tergantung’ di tebing pada ketinggian beberapa ratus meter dari kaki cerun tersebut.
Beberapa pakar dan pegawai perbandaran berkata, cerun itu semakin terhakis akibat hujan lebat dan pemanasan global, menyebabkan rumah-rumah itu berada dalam keadaan sangat berbahaya.
“Cerun di lembah ini condong pada sudut 90 darjah.Itulah sebabnya kami mahu mereka berpindah. Sekiranya penduduk terus berdegil, pihak berkuasa tiada pilihan melainkan menggunakan kekerasan,” kata Setiausaha Air, Sanitasi, Pengurusan Alam Sekitar dan Risiko di pejabat Datuk Bandar El Alto, Gabriel Pari.
Namun, rumah seorang dukun di lokasi itu kelihatan berdiri megah walaupun pintu belakangnya berisiko runtuh sepenuhnya.
“Kami tidak akan berpindah dari tempat ini, kerana ini adalah tempat kerja harian kami,’ kata dukun tempatan, Manuel Mamani. – AGENSI