MADRID – Pakar analisis sukan permotoran menjangkakan dua pelumba Ducati bagi Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2025, Marc Marquez dan Francesco Bagnaia bakal mencetuskan persaingan sengit antara mereka sekali gus menjadi tumpuan utama musim depan.
Selepas hanya semusim bersama pasukan satelit Gresini Racing, Marquez berjaya meraih 20 podium selain tiga kemenangan perlumbaan menyaksikan legenda Sepanyol itu ‘dinaikkan pangkat’ ke pasukan kilang.
Bersama Ducati selaku pasukan paling dominan dalam MotoGP, kini kembali membuka peluang luas buat Marquez untuk merebut gelaran dunia, namun kehadirannya ke garaj yang sudah dikawal Bagnaia yang juga juara dunia dua kali mungkin boleh menimbulkan ketegangan.
Bekas pelumba MotoGP, Michael Laverty percaya Marquez akan berusaha untuk mempengaruhi hala tuju Ducati musim depan.
“Pecco (Bagnaia) adalah juara dunia dua kali dan menguasai garaj selama beberapa tahun ini. Namun, dengan kehadiran Marquez, ‘duri besar’ pasti muncul. Dia (Marquez) pastinya mahu menguasai garaj Ducati mengikut caranya,” jelas Laverty.
Sementara itu, bekas juara dunia Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), Sylvain Guintoli menolak kemungkinan wujudnya hubungan kerja yang harmoni antara kedua-dua pelumba itu.
“Tidak mungkin. Ia akan menjadi persaingan yang sangat hebat. Namun, satu kelebihan Pecco adalah dia tidak memakai No. 1 tahun depan. Jika kalah kepada Marc, dia tidak hilang gelaran No. 1 kepada rakan sepasukannya,” katanya.
Bagi Neil Hodgson, bekas dua kali juara WSBK itu merasakan prestasi Marquez pada jentera lama Ducati sepanjang musim ini menunjukkan ancaman besar bakal dibawanya tahun depan.
“Marquez menggunakan jentera lama dan meraih 20 podium. Pelumba lain dengan jentera terkini Ducati pula hanya mencatat dua podium secara keseluruhan,” jelas Hodgson. – AGENSI