PETALING JAYA – Seorang lelaki yang tular menghalang kenderaan awam selepas ditegur menghisap rokok di sebuah stesen minyak, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya.
Bagaimanapun tertuduh R.Simachalam, 35, yang merupakan pembantu kedai runcit itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Farah Azura Mohd. Saad.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memandu kereta jenis Proton Perdana dengan cara melulu yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalanraya yang lain.
Kesalahan itu didakwa dilakukan PJU 10/10B Damansara Damai di sini pukul 2.55 petang pada 9 Disember lalu yang didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000 jika sabit kesalahan.
Bagi sabitan kedua atau seterusnya, hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda antara RM10,000 hingga RM20,000, jika sabit kesalahan.
Berikutan pengakuan tidak bersalah tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran menawarkan jaminan RM9,000.
Bagaimanapun peguam, V.Pushparajan yang mewakili tertuduh merayu, anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum.
“Dia perlu menjaga ibunya yang berusia 59 tahun dan abang lumpuh, berusia 39 tahun,” kata peguam itu.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Majistret Farah Azura kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudian menetapkan 28 Januari tahun depan sebagai sebutan semula kes.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan polis telah membuka kertas siasatan terhadap seorang lelaki yang memandu secara berbahaya selepas ditegur menghisap rokok di sebuah stesen minyak di Damansara Damai, di sini baru-baru ini.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Hussin Sollehuddin Zolkifly, pihaknya mengesan sebuah video tular mengenai kejadian itu.
Video tersebut memaparkan seorang lelaki berjalan menuju ke kenderaannya sambil menghisap rokok di kawasan stesen minyak
Selepas ditegur orang awam, individu itu membuat provokasi dengan memandu secara melulu sehingga menghalang laluan kenderaan orang awam terbabit,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE