SUNGAI PETANI – Ahli keluarga anggota komando yang hilang masih menyimpan harapan anak mereka Lans Koperal Ahmad Zulhilmi, 24, akan ditemui dalam keadaan selamat dalam masa terdekat.
Bapanya Ahmad Tarmizi Safar berkata dia dan isterinya,Zuraida Abu Bakar masing-masing 54 tahun tetap sabar menanti perkembangan terbaru usaha pencarian yang masih diteruskan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) walaupun telah memasuki hari ke 14 kehilangan anak sulung mereka itu.
“Setiap hari saya dihubungi pihak ATM bagi memaklumkan perkembangan pencarian itu dan saya masih menaruh harapan tinggi yang dia akan ditemui segera.
” Terbaru pagi tadi pihak ATM menghubungi saya memaklumkan seramai enam penyelam digerakkan ke lokasi untuk melakukan pencarian di air bersama anggota lain yang turut melakukan pencarian dalam radius yang ditetapkan di daratan,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Padang Limau,Kota Kuala Muda pagi tadi.
Menurut Ahmad Tarmizi lagi,dia bersyukur kerana usaha dan kesungguhan pihak ATM melakukan tugasan mencari dan menyelamat tanpa henti sejak hari pertama anaknya dilaporkan hilang pada 30 November lalu sehingga sekarang.
“Hanya ucapan terima kasih yang dapat dizahirkan kepada ATM atas kesungguhan dan jaminan mereka meneruskan misi sehingga anak saya ditemui membuatkan saya sekeluarga tidak sedikit pun merasa sangsi atau putus harapan anak kami akan ditemui jua.
“Usaha pihak ATM telah dilakukan dan selebihnya kami sekeluarga menyerahkan kepada Allah atas segala keputusan yang ditetapkannya dalam kes kehilangan anak kami ini,” katanya.- KOSMO! ONLINE