KEJAYAAN menumpaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 3-0 di laman sendiri dalam aksi Liga Super minggu lalu memberi keyakinan buat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mengulangi kejayaan sama pada suku akhir pertama Piala Malaysia malam ini.
Pengendalinya, Hector Bidoglio berkata, beliau perlu mengambil pendekatan berbeza apabila berdepan skuad kendalian Miroslav Kuljanac itu yang akan memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri.
Sehubungan itu, Bidoglio tidak merancang untuk ‘menyimpan kuku’ apabila bertandang ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini, sebaliknya sedia membariskan skuad terbaiknya.
“Walaupun menewaskan mereka minggu lalu, ia adalah perlawanan berbeza. Kami tidak mahu Piala Malaysia terlepas daripada genggaman, jadi pastinya akan memberikan saingan sengit bagi mempertahankannya.
“Kami perlu tampil dengan corak permainan yang agresif untuk mencari bekalan selesa menghadapi aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 Disember ini.
“Pemain tidak boleh bersikap sambil lewa dan perlu mencari gol yang memberi kelebihan kepada pasukan,” katanya.
Ditanya mengenai ‘kehilangan’ hio Hong Wan, Bidoglio berkata, pemain tengah itu mengalami kecederaan dan masih dalam proses pemulihan yang perlu mengambil tempoh lama untuk pulih sepenuhnya.
“Hong Wan pemain penting bagi kami tapi dia mengalami kecederaan di kaki kanan. Biarlah dia pulih sepenuhnya untuk kembali menyertai latihan bersama rakan sepasukan,” ujarnya.