TUMPAT – Imam Tua Masjid As Solihin, Mukim Bendang Pak Yong di sini tidak dapat menahan sebak semasa membaca doa akhir solat Jumaat hari ini kerana terlalu bersyukur apabila masjid tersebut kembali dipenuhi semula dengan jemaah.
Anuar Daud yang menyampaikan khutbah bertajuk ‘Sabar Menghadapi Bencana’ menitiskan air mata selepas dua minggu berturut-turut masjid itu tidak dapat melaksanakan solat Jumaat ekoran banjir.
Anuar berkata, dia bersyukur apabila solat Jumaat dapat dilaksanakan dan seramai hampir 300 jemaah hadir ke masjid seperti kebiasaannya pada hari Jumaat.
“Dua kali solat Jumaat tidak dapat dilakukan akibat banjir. Ruang dalam masjid habis ditenggelami air dua minggu lalu.
“Pada minggu lalu, jemaah tidak cukup 40 orang kerana ramai penduduk di sini berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS). Ketika itu, kami hanya menunaikan solat Zuhur di masjid ini,” katanya ditemui pemberita di Masjid As Solihin, Mukim Bendang Pak Yong di sini hari ini.
Anuar memberitahu, penduduk tidak perlu menaiki bot atau sampan untuk menunaikan solat Jumaat hari ini kerana semua jalan perhubungan sudah boleh dilalui kenderaan.
Menurutnya, pengisian khutbah solat Jumaat hari ini juga mengingatkan jemaah supaya tabah menghadapi ujian Allah SWT dan segera bertaubat.- KOSMO! ONLINE