PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sehingga pukul 6 petang ini.
MetMalaysia memaklumkan, cuaca buruk itu melibatkan Kedah, Perak, Pahang, Selangor, Sarawak serta Sabah.
“Hujan lebat di Kedah tertumpu di Kuala Muda, manakala di Perak membabitkan Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim,” katanya hari ini.
Sementara itu, di Pahang, cuaca buruk diramalkan berlaku di kawasan sekitar Tanah Tinggi Cameron, Raub, Kuantan dan Pekan.
“Antara kawasan yang terlibat di Selangor adalah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Gombak,” tambahnya.
Bagi Sarawak pula, ia meliputi Samarahan (Simunjan), Betong (Pusa dan Betong), Miri (Telang Usan dan Marudi) dan Limbang.
Hujan lebat dan angin kencang di Sabah melibatkan kawasan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan dan Keningau), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Sandakan (Tongod) dan Kudat.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan banjir kilat, tanah runtuh dan risiko pokok tumbang berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu. – KOSMO! ONLINE