KEMENANGAN 3-2 Harimau Malaya ke atas Timor Leste dalam aksi kedua Kumpulan A Piala ASEAN di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin langsung tidak layak dipuji disebabkan prestasi cacamarba yang hampir-hampir boleh memalukan imej Malaysia di pentas antarabangsa.
Bukan aksi di atas padang sahaja menjadi cemuhan penyokong yang kini semakin meluat dengan prestasi terumbang-ambing termasuk seri 2-2 dengan Kemboja minggu lalu tetapi situasi pemain ‘keluar masuk’ seakan skuad kebangsaan tidak ubah seperti kelab liga sosial.
Sehari sebelum menentang Timor Leste, Penang FC memanggil Syamer Kutty Abba dan Adib Raop bagi aksi Piala Cabaran menentang PT Athletic dan kini Sabah FC pula mengarahkan empat pemainnya meninggalkan kem Harimau Malaya iaitu Stuart Wilkin, Daniel Ting, Darren Lok dan Dominic Tan yang merupakan kapten skuad kebangsaan, untuk menghadapi Piala Malaysia.
Ditambah pula Syafiq Ahmad dan Fergus Tierney mengalami kecederaan, menyaksikan Harimau Malaya ‘tempang’ untuk aksi wajib menang ke atas Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok malam esok ketika Gajah Perang kembali diperkuatkan kepulangan dua bintang yang berpangkalan di Jepun, Ekanit Panya serta Supachok Sarachat.
Begitupun, pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente lega dapat menutup mulut pengkritik selain menganggap skuad negara mempamerkan aksi di bawah tahap sebenar sehingga lawan di ranking ke-196 dunia itu mendahului 2-1 pada tamat separuh masa pertama.
Perubahan taktikal dilakukan Pau Marti membolehkan Malaysia di ranking 132 dunia, bangkit di babak kedua sekali gus meraih tiga mata berharga di laman sendiri.
“Ketika masa rehat, saya katakan kepada pemain bahawa perlawanan belum berakhir dan kita masih ada peluang untuk bangkit.
“Segalaya bergantung kepada diri sendiri kerana kita tidak boleh salahkan pengadil, nasib yang kurang baik, masalah kecederaan ataupun pasukan lawan.
“Semua terletak di tangan sendiri dan kita perlu bangkit untuk mendapatkan kemenangan. Ini adalah aksi yang sukar tetapi apa yang penting, kita mendapat kemenangan dan mencapai misi kita di sini,” katanya.
Malaysia membuka tirai jaringan menerusi Syafiq Ahmad (m-37) sebelum Timor Leste bangkit dengan dua gol pantas melalui Olagar Xavier dan Joao Pedro pada minit ke-45+1 serta 45+3.
Bintang naturalisasi negara, Paulo Josue muncul penyelamat apabila meledak dua gol di babak kedua pada minit ke-70 dan 83 untuk memastikan kemenangan 3-2 ke atas Timor Leste.
Pengendali dari Sepanyol itu juga mengakui aksi separuh masa pertama kurang memuaskan dan wajar dikritik oleh penyokong selepas dibolosi dengan mudah oleh pasukan lawan.
“Secara peribadi, saya rasa aksi pada separuh masa pertama bukanlah seteruk yang disangka tetapi sudah tentu, kita perlu tunjukkan keazaman untuk menang perlawanan.
“Kita akan cuba bangkit daripada pengalaman ini dan saya fikir secara emosi, semua orang dalam stadium sedar ia satu perlawanan yang sukar.
“Apa yang pasti, pujian harus diberi kepada barisan pemain kerana kita akan hadapi cabaran lebih sukar (menentang Thailand) selepas ini,” katanya.