fbpx

Bekas remisier didakwa tipu anak Raja Nong Chik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas remisier didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu anak kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berhubung pembelian saham pembekalan peralatan golf tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Ali Imran Mohamad, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.

Remisier merupakan seseorang yang terlibat dalam pelaburan bank atau syarikat broker.

Mengikut pertuduhan tertuduh yang ketika itu kakitangan sebuah syarikat didakwa menipu Raja Hamzah Abidin Raja Nong Chik, 36, dengan memperdayakan mangsa bagi mempercayai tertuduh boleh menguruskan segala urusan pembeliaan saham MST Golf berjumlah 1,000,000 unit dengan harga jualan RM900,000 yang mana tertuduh tidak pernah membuat sebarang pembelian saham tersebut.

Perbuatan itu telah mendorong mangsa menyerahkan wang (RM900,000) kepada tertuduh yang diterimanya menerusi akaun bank atas nama sebuah syarikat milik ibu mentua tertuduh yang mana tertuduh telah menggunakan RM655,440 bagi kepentingan peribadi dan hanya memulangkan kembali RM244,560 kepada mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Dataran Maybank, Jalan Maarof di Bangsar di sini pada 18 Julai 2023 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya M.Saravanan menawarkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin.

Sementara peguam J.Joel Ruben yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya kini tidak bekerja serta menanggung keluarga serta isterinya sedang mengandung anak kedua.

Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Hamidah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000.

Tarikh 6 Februari tahun depan ditetapkan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI