MELAKA – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Negeri Melaka (PPSPM) dipenjara enam tahun dan didenda RM1.3 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah menerima suapan pembekalan 10 bot Melaka River Cruise berjumlah RM260,000, tujuh tahun lalu.
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd. Fariz Mohd. Ali, 42, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah untuk mematahkan anggapan mengikut Seksyen 51 Akta Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di akhir kes pembelaan.
Elesabet dalam penghakimannya berkata, sepanjang prosiding pembelaan hanya dua saksi dipanggil memberi keterangan iaitu tertuduh dan adiknya.
“Tertuduh menafikan menerima wang tunai daripada saksi pendakwaan kesembilan dan tidak berada di tempat serahan wang selain mendakwa tempat cuci kereta seperti dalam pertuduhan tidak wujud.
“Selain itu, tertuduh turut menafikan pernah membantu syarikat LEC Impresssions Sdn. Bhd. mendapatkan projek PPSPM dan mendakwa dokumen kewangan syarikat berkenaan serta transaksi kepada seorang lelaki bernama Osman tidak selari seperti jumlah dipertuduhkan.
“Tertuduh didapati bersalah dan disabitkan terhadap keempat-empat pertuduhan pindaan dibawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta sama,” ujarnya.
Mengikut keempat-empat pertuduhan pindaan, Mohd. Fariz yang ketika itu berjawatan pengurus di Bahagian Pembangunan Perniagaan Produk PPSPM didapati menerima suapan tunai bernilai keseluruhan RM260,000 daripada Syarikat LEC Impressions Sdn. Bhd. yang mana wang tersebut telah diberikan secara tunai oleh wakil syarikat berkenaan.- KOSMO! ONLINE