HAMPIR 20 tahun bergelar anak seni, siapa sangka penyanyi yang terkenal dengan genre muzik rancak bahkan mudah diberi jolokan Ratu Tari Malaysia itu tidak pernah menonton sebarang persembahan atau konsert berskala besar.
Kata ibu tiga anak itu, tugas sebagai penghibur membuatkan dirinya tidak tertarik untuk menghadiri sebarang konsert tidak mengira sama ada persembahan penyanyi tempatan mahupun antarabangsa.
Namun, perasaan berbeza dirasakan selepas berpeluang menyaksikan persembahan hebat maestro muzik tersohor, Datuk M. Nasir menerusi konset Datuk M. Nasir Cipta 2 pada 12 Oktober lalu.
“Sejujurnya saya tidak pernah menonton sebarang konsert sebelum ini. Tetapi, hendak dijadikan cerita buat pertama kali saya pergi menonton konsert Datuk M. Nasir Cipta 2.
“Saya memang peminat nombor satu beliau. Sepanjang tiga jam persembahan, saya memang tidak ke mana-mana. Saya hanya duduk menonton konsert beliau.
“Saya sangat berterima kasih kepada beliau kerana bukan sahaja menjadi inspirasi tetapi turut mempengaruhi perjalanan muzik saya sepanjang kerjaya seni sejak dahulu lagi,” katanya penuh semangat.
Mengulas mengenai kehadirannya ke konsert tersebut, Stacy atau nama lengkapnya Ummu Shaikhah Stacy Anam, 34, teruja apabila pertama kali berpeluang untuk menyaksikan persembahan muzik sebegitu.
“Sebelum ini, saya tidak terfikir untuk menghadiri mana-mana konsert dan tidak tahu bagaimana rasanya apabila melihat artis kegemaran di depan mata membuat persembahan.
Menyala
“Perasaan saya terbuai-buai dan melayang-layang sepanjang menonton persembahan beliau. Tidak sangka rupa-rupanya sangat seronok pergi menonton konsert,” katanya bersungguh-sungguh.
Selain bercerita tentang keterujaan berpeluang menyaksikan persembahan sifu muzik terkenal itu, M. Nasir juga menjadi individu yang bertanggungjawab bagi menyuntik semangat untuk menghasilkan single baharunya bertajuk Menyala.
Diciptakan sepenuhnya Bunga Cantik atau Stacy sendiri, lagu tersebut pada awalnya mengalami kesukaran dan berdepan kekangan saat ingin menjalani rakaman di studio
“Sebelum menonton konsert itu, saya tertanya-tanya, mengapa susah sangat untuk rakam lagu ini. Boleh dikatakan ada saja halangan untuk merakamkan lagu ini. Saya rasa betul-betul tertekan.
“Berbeza perasaan selepas menyaksikan konsert M. Nasir. Saya terus yakin, bersemangat dan proses rakaman juga menjadi lancar. Proses rakaman juga berjalan baik.
“M. Nasir memang penyelamat dan pembakar semangat untuk merakam lagu Menyala,” ujarnya.
Tambah Stacy lagu tersebut merupakan refleksi emosi terhadap perjuangan muzik, sekali gus sebagai tanda terima kasih kepada peminat yang telah banyak memberi sokongan.
“Selama 16 tahun dalam industri, saya tertanya-tanya apakah tujuan dan hala tuju saya sebagai anak seni.
“Dahulu saya tidak pernah terfikir untuk menghasilkan lagu yang memberi makna mendalam.
“Tetapi selepas melihat sokongan yang diberikan peminat, terutama saat saya berdepan dengan isu panas (penarikan diri daripada konsert A Night With Sumandak Stars) tempoh hari, saya berasa teruja dan bersyukur.
“Lagu ini untuk peminat yang memberikan sokongan dan juga menggambarkan tentang semangat perjuangan muzik saya dalam industri termasuk asal usul sebagai anak seni kelahiran Sabah,” jelasnya panjang lebar.
Muzik video lagu Menyala yang dilancarkan sejak 5 Disember menerusi YouTube kini sudah meraih lebih 100,000 tontonan.