fbpx

Malbatt 850-12 tingkat kesiapsiagaan dalam tugas di Lebanon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Ab. Rahman bersama warga ATM pada Perbarisan Penganugerahan Pingat PNBB dan Pembubaran Malbatt 850-11 di Pusasda, Port Dickson hari ini. - Foto oleh NOR AINNA HAMZAH / KOSMO!

PORT DICKSON – Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-12 akan terus meningkatkan kesiapsiagaan dan kewaspadaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan dalam tugas pengaman di Lebanon.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman berkata, secara keseluruhannya, kehadiran Malbatt 850-11 telah diterima baik oleh masyarakat tempatan, mencerminkan kejayaan kolaborasi antara pasukan pengaman dan komuniti setempat.

Menurutnya, Malbatt 850-11 telah mempamerkan disiplin dan mutu kerja yang cemerlang meskipun menghadapi pelbagai cabaran getir akibat ancaman konflik berterusan antara Israel dan Lubnan.

“Sejak oktober tahun lalu ketegangan konflik antara Israel, Hamas dan Hizbullah telah memberi impak kepada operasi di kawasan tanggungjawab Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

“Pergerakan pasukan terpaksa dihadkan bagi memastikan keselamatan anggota sentiasa terpelihara. Dalam suasana operasi yang mencabar, kontinjen Malbatt 850-11 telah berjaya mengekalkan reputasi sebagai pasukan pengaman yang dihormati dan disegani, bukan sahaja oleh masyarakat setempat, malah dalam kalangan komuniti antarabangsa.

“Sumbangan dan komitmen mereka bukan sahaja membuktikan kemampuan Malaysia dalam melaksanakan misi keamanan global, malah juga memperkukuhkan kredibiliti negara sebagai penyumbang kepada kestabilan sejagat,” katanya kepada pemberita sempena Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-bangsa Bersatu (PNBB) dan Pembubaran Malbatt 850-11 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, seramai 853 anggota dan pegawai termasuk dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Kewangan daripada Kementerian Pertahanan menerima Penganugerahan Pingat PNBB diketuai Komander, Kolonel Burhan Sagoni. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI