PORT DICKSON – Komander Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11, Kolonel Burhan Sagoni meluahkan rasa syukur apabila dia bersama pasukan berjaya menyelesaikan misi pengaman dengan baik walaupun berdepan cabaran serangan pengeboman Israel di Lebanon ataupun disebut sebagai Northern Arrows.
Burhan berkata, pasukannya berdepan dengan cabaran besar apabila bertugas semasa krisis tersebut melanda di kawasan berkenaan dan melaksanakan operasi lain dari yang lain dari pasukan Malbatt sebelum ini.
“Operasi luar dari kebiasaan ialah bagi megiringi pergerakan pegawai kanan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL) masuk ke kawasan operasi. Kita beri bantuan kepada penduduk awam di kawasan tanggungjawab Malbatt.
“Kita ambil pesakit-pesakit awam daripada Blue Line bawa ke hospital di situ. Kita membuat tinjauan yang kita panggil Kuala Lumpur Operation yang mana kita bantu pasukan -pasukan sahabat untuk membuat rondaan berkala,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-bangsa Bersatu (PNBB) dan Pembubaran Malbatt 850-11 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE