KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, memulakan kempen Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di Hangzhou, China dengan langkah positif apabila menewaskan pemain Taiwan, Chou Tien Chen dengan keputusan straight set.
Zii Jia yang turun selaku pemain ranking No. 8 dunia itu hanya mengambil masa 39 minit untuk menewaskan Tien Chen dengan keputusan 21-13, 21-15, sekali gus melebarkan rekod kemenangan kali keenam ke atas pemain No. 9 dunia itu dalam 11 pertemuan mereka setakat ini.
Kemenangan tersebut memberikan Zii Jia peluang untuk layak ke separuh akhir dari Kumpulan A, kerana dia hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk mencerahkan harapan melangkah ke pusingan seterusnya.
Bagi Zii Jia, kemenangan tersebut amat penting kerana dia telah membuat persiapan rapi untuk menghadapi cabaran sengit terutama menerusi bintang Denmark, Anders Antonsen esok.
“Sebenarnya, saya agak kecewa kerana dua tahun lepas saya tidak layak untuk ke pentas ini. Tetapi sekarang saya berada di sini dan saya cuba untuk mencapai sesuatu di sini juga.
“Seperti yang saya katakan, setiap lapan pemain terbaik tahun ini berada di sini. Saya rasa setiap orang ingin mencapai sesuatu di sini. Jadi, saya rasa ini adalah cabaran besar.
“Mengenai perlawanan esok, saya perlu bersiap sedia kerana dia (Antonsen) bermain dengan sangat baik selepas Olimpik. Seperti yang anda lihat, dia juga cukup konsisten. Setiap kali berdepan dengannya, ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Jadi, ya, saya perlu bersiap sedia,” kata Zii Jia.
Bagaimanapun, disebalik kemenangan Zii Jia turut berakhir dengan kontroversi apabila bendera Jalur Gemilang yang terpapar di bajunya dilihat terbalik dan ketika ini gambar tersebut turut tular di media sosial. -KOSMO! ONLINE