KLANG – Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan pemain sensasi Selangor FC, Faisal Halim antara 94 penerima Darjah dan Bintang Kebesaran sempena ulang tahun keputeraan ke-79 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.
Pada istiadat yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah hari ini, Sultan Sharafuddin berkenan mengurniakan Darjah Paduka Mahkota Selangor yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Wan Ahmad Dahlan disusuli Pengerusi Eksekutif The Edge Communications Sdn. Bhd., Tan Sri Tong Kooi Ong, bagi darjah kebesaran sama.
Turut berangkat hadir, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ahli Pengampunan Negeri Selangor, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman merupakan satu-satunya individu dianugerahkan Darjah Dato’ Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah yang membawa gelaran Dato’ Setia.
Sultan Sharafuddin turut berkenan menganugerahkan masing-masing kepada 11 individu bagi Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor dan Dato’-Sultan Sharafuddin Idris Shah yang membawa gelaran Dato’ dan Datin Paduka.
Ini antaranya melibatkan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir. Izham Jaafar, Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muhammad Farhan Wijaya, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Permerbadanan), Saipolyazan Mat Yusop serta Pengarah Eksekutif Kumpulan Sunway, Sarena Cheah Yean Tih.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Sin Chew Daily, Kuik Cheng Kang.
Sempena Hari Keputeraan itu juga, Sultan Sharafuddin turut berkenan menganugerahkan Ahli Kegemilangan Sukan Selangor kepada pemain bowling negara, Natasha Mohamed Roslan.
Turut berlangsung adalah penganugerahan Setia Mahkota Selangor dan Setia- Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada masing-masing 11 individu serta Ahli Mahkota Selangor kepada 16 individu lain.
Faisal Halim atau mesra dipanggil Mickey adalah antara 17 penerima Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah selain dua individu menerima Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor dan tujuh individu untuk Bintang Perkhidmatan Cemerlang. -KOSMO! ONLINE