PETALING JAYA – Pelancong yang melalui pemeriksaan di imigresen Korea Selatan dinasihatkan memakai pakaian elok dan sesuai sekali gus meyakinkan pegawai untuk memberi pelepasan.
Tips berkenaan dikongsi seorang pengguna TikTok tyahdelrey berdasarkan persediaan dan pengalamannya sewaktu melalui imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, baru-baru ini.
“Aku kaji habis-habisan, takut tak lepas masuk. Lepas tu ada yang cakap kena jaga penampilan kat sana (imigresen Korea). Betullah asalkan pakai pakaian sesuai, datang macam kau nak ‘travel’.
“Janganlah pakai benda lusuh, ‘hoodie’ nak terkoyak, pakai biasa saja. Asalkan nampak normal nak pergi ‘travel’,” katanya pada video berkenaan.
Dia berkata, selain pakaian yang sesuai, pengunjung juga perlu yakin menjawab soalan-soalan daripada pegawai imigresen Korea Selatan.
“Kena yakin jawab soalan, contoh ‘berapa hari anda tinggal di Korea?’. Jawab je (dengan yakin) ‘lima hari empat malam’ (contoh) tanpa fikir (tergagap atau tidak yakin).
“Dia orang kerja, tahu gerak geri kita macam mana. Ada benda kita sorok daripada dia orang ke. Tak payahlah takut nak ke Korea sebab pasport kosong, tak ada cop, tak pernah ‘travel’ ke mana-mana.
“Asalkan anda nak ‘travel’, tunjuk (diri) datang ke situ untuk ‘travel’ bukan nak tinggal sana atau bekerja,” katanya.
Menceritakan situasi dilaluinya sewaktu pemeriksaan di imigresen tersebut, dia berkata, ada empat gadis di hadapannya ditolak kemasukan mereka serta dibawa oleh pegawai imigresen ke tempat lain.
“Waktu giliran aku, aku terus ucap ‘good morning’ dan terus bagi pasport. Tanpa cakap apa-apa, dia pandang aku (sambil tangan belek pasport).
“(Pegawai tanya) ‘pertama kali ke Korea?’ ‘berapa lama tinggal di Korea?’. Aku pun cakap ‘ya (pertama kali), tinggal lima hari empat malam’. Lepas tu dia tampal ‘sticker’, suruh aku cap jari, selesai. Aku terpinga-pinga, eh selesai dah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
@tyahdelrey tapi sekarang tak tau la system dorang cane ni experience aku jela ek #fyp #tiktoktravel #korea ♬ original sound – Fatiyah Nabila