SINGAPURA – Seorang lelaki di Jurong West, Singapura terkejut apabila mendapati seekor ular sawa mengetuk tingkap rumahnya yang berada di aras dua sebuah pangsapuri, lapor laman berita The New Paper.
Lelaki dikenali sebagai Mukhlis itu berkata, dia dikejutkan daripada tidur pada waktu tengah hari, Ahad lalu selepas mendengar jeritan dua penduduk yang lalu di tepi rumahnya.
“Mereka datang ke rumah untuk memberitahu saya supaya menutup tingkap kerana ada ular (di luar tingkap),” kata jurulatih sukan berusia 54 tahun itu.
Menurut dua penduduk tersebut, mereka melihat ular ular sawa sepanjang 3.5 meter itu menyusur menaiki tangga ke tingkat dua Blok 925 Jurong West Street 92, yang menempatkan rumah Mukhlis.
Mukhlis berkata, dia dengan pantas bangun dari katil sebelum menutup tingkap dapur dan bilik tidur utamanya.
Dia kemudian mendengar ketukan dari bilik tidur utama.
“Ia mengetuk cermin tingkap saya,” tambah Mukhlis.
Dia kemudian menghubungi talian Persatuan Penyelidikan dan Pendidikan Keprihatinan Haiwan (Acres) sebelum anggotanya tiba dan menangkap reptilia tersebut. – AGENSI