KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara berpandangan undang-undang sedia ada sudah memadai untuk memastikan hubungan antara kaum terpelihara di negara ini.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy berkata, undang-undang sedia ada telah menetapkan sesiapa sahaja yang melakukan apa-apa perbuatan, mencetuskan atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang menggugat perpaduan kaum dan agama boleh disiasat serta didakwa.
“Antara akta yang boleh digunakan adalah Subseksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 [Akta 15] iaitu kesalahan menghasut.
“Selain itu, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] iaitu kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Pesalah juga boleh didakwa di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebabkan atas alasan-alasan agama, suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) berhubung adakah kerajaan bercadang untuk menggubal Akta Keharmonian Negara bagi mengatasi masalah polemik agama yang semakin berleluasa di negara ini.
Sehubungan itu, Saraswathy berkata, pihak kementerian berpandangan tiada keperluan untuk menggubal atau memperkenalkan undang-undang baharu seperti Akta Keharmonian Negara buat masa ini.
“Memadai dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.
“Walaupun begitu, sekiranya keadaan mendesak, undang-undang sedia ada boleh disemak semula bagi mengekang sesetengah ucapan, kenyataan (hate speech) atau perbuatan provokasi yang boleh memecahbelahkan masyarakat dengan sentimen perkauman,” katanya.
Tambahnya, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak untuk mendapat perlindungan yang sama rata serta adil.
“Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan Persekutuan diskriminasi terhadap warganegara tidak boleh diamalkan semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, warna kulit, tempat lahir atau jantina,” katanya.- KOSMO! ONLINE