fbpx

‘Tak tunggang isu peribadi, saya cari rezeki halal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fattah menganggap tawaran pelbagai jenama sebagai rezeki, bukan dipergunakan pihak tertentu ketika namanya menjadi bualan.

KUALA LUMPUR – Kembali menjadi fenomena selepas bergelar duda, pelakon Fattah Amin menganggap tawaran pelbagai jenama sebagai rezeki, bukan dipergunakan pihak tertentu ketika namanya menjadi bualan.

Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 34, mengakui tidak pernah menjadikan isu perceraian sebagai hal yang boleh ditunggang mana-mana pihak.

“Saya mencari rezeki yang halal. Jika mereka ambil saya bekerja, saya buktikan dengan hasilnya. Tiada istilah ‘menunggang’ isu peribadi.

“Mereka beri saya tawaran kerja dan produk terjual. Itu yang lebih saya fokuskan. Saya ambil tanggungjawab atas setiap kerja diberikan.

“Semua rezeki ini sudah tertulis, tiada istilah menunggang hal peribadi,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada sidang media pelantikannya sebagai duta Usanita Entertainment, kelmarin.

Enggan memikirkan tanggapan serong segelintir individu yang muak dengan tumpuan masyarakat terhadapnya, bapa tunggal kepada seorang anak itu cuma mahu bekerja mencari rezeki.

Baginya apabila diberi amanah, dia hanya menjalankan tugas manakala persepsi luar pula terpulang kepada orang ramai untuk menilai.

“Ini semua rezeki Allah dan sebagai umat Islam kita kena percaya perkara itu. Saya pun tak minta setiap video yang dibuat menjadi FYP (tular).

“Saya hanya buat sehabis baik untuk setiap tawaran kerja. Persepsi masing-masing untuk memberi pendapat dan itu saya tidak boleh kawal.

“Ada yang suka dan ada yang tidak. Semua orang ada hak untuk bercakap, saya tak boleh halang,” ujarnya.

Bersama Usanita Entertainment, Fattah yang dilantik sebagai duta menggalas tanggungjawab mempromosikan setiap kandungan digital syarikat berkenaan.

Selain mengikuti aktiviti berkaitan perniagaan dan misi pendidikan, dia juga bakal bergandingan dengan pelakon Sophia Albarakbah membuntangi drama berjudul Aku Cinta Dia.

Naskhah arahan Erma Fatima itu dijadualkan menjalani penggambaran di United Kingdom bersempena kesinambungan program Bridge to Brilliance 3.0 Oxford pada Februari 2025. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI