KLANG – Pemain sensasi Selangor FC, Faisal Halim mendapat kata-kata pembakar semangat apabila dititipkan pesanan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar tidak berputus asa dan bekerja keras dalam kariernya.
Pesanan itu diberikan Sultan Sharafuddin berkenaan menganugerahkan Faisal Halim bintang kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A. I. S) pada sempena ulang tahun keputeraan ke-79 Sultan Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah hari ini.
Kata Faisal yang mesra dipanggil Mickey tersebut, penganugerahan dan pesanan itu secara langsung menjadi tonik berguna untuk kembali menjadi antara pemain bola disegani seperti sebelum ini.
“Sultan Sharafuddin menyatakan supaya kerja keras, jangan putus asa dan teruskan (karier sebagai pemain bola sepak) sebelum saya menzahirkan ucapan terima kasih dan insya-Allah.
“Walaupun keadaan begini, saya terima. Ini semua takdir, saya kena kuatkan semangat cari rezeki untuk isteri dan anak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas istiadat tersebut, hari ini.
Pada 5 Mei lalu, Faisal menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di sini sehingga perlu menjalani empat pembedahan.
Mickey menambah, pencalonan bagi anugerah tersebut diuruskan oleh pengurusan Selangor FC dan dia hanya mengetahuinya untuk penerimaannya pada dua bulan lalu.
Tegasnya, sasaran ketika ini adalah kembali menjadi barisan utama pasukan Selangor FC.
“Saya sudah ketinggalan agak lama kira-kira lapan bulan. Ini adalah masa untuk saya kembali bersama pasukan.
“Keadaan Alhamdulillah. Walaupun siku tangan kiri tidak boleh lipat seperti normal namun ia tidak ganggu fokus saya,” ujarnya.
Justeru, dia mengharapkan rakyat Selangor khususnya untuk terus mendoakan kejayaannya sebagai pemain bola sepak.
“Sekarang hanya tunggu bermain seperti sedia kala. Kalau tak dapat main susahlah. Kalau dah dapat main senang nak perbaiki permainan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE