KUALA LUMPUR – Kerap membawakan watak penyondol atau perosak rumah tangga membuatkan pelakon Shiqin Kamal menaruh harapan untuk mencuba karakter berbeza.
Kata Shiqin atau nama lengkapnya Nur Ashiqin Mohd. Kamal, 33, sudah tiba masanya untuk melakukan perubahan dalam portfolio lakonannya sekali gus menamatkan ‘era penyondol’.
“Saya pun mengharapkan agar era penyondol itu sudah berakhir. Saya mengharapkan agar melakonkan watak perosak rumah tangga atau penyondol itu dapat dielakkan.
“Bukan bermaksud saya menolak rezeki, tetapi apabila sudah kerap melakonkan watak sama, saya sudah tahu perjalanan watak dan cerita itu akan ke mana.
“Jadi saya mengharapkan sangat ada orang (pengkarya) yang berani untuk buat skrip yang berbeza dan lebih bijak,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ditemui dalam majlis tayangan perdana filem Reversi di sini semalam, Shiqin meluahkan hasrat untuk melakonkan watak aksi dan berbeza dengan yang pernah dilakonkan sebelum ini.
“Kalau diberi peluang saya mahu menjadi seperti Angelina Jolie. Sekiranya memerlukan saya korbankan masa menjalani latihan fizikal, atau diet makanan ketat pun saya sanggup.
“Apa salahnya untuk menghasilkan filem aksi wanita seperti agen perisik atau babak aksi. Bagi saya sudah tiba masanya untuk lakukan perubahan dan memperbanyakkan karya yang mempamerkan kekuatan dan kehebatan wanita,” katanya.
Shiqin yang bakal muncul dengan filem baharu bertajuk Reversi pada 19 Disember depan meminta agar pengkarya seperti penerbit dan pengarah memberi peluang kepada pelakon untuk mencuba karakter berbeza dalam naskhah.
“Bagi saya beri peluang dengan melakukan uji bakat bagi mengetahui sama ada pelakon itu mampu atau tidak. Mungkin tidak sebarangan pelakon, tetapi memilih pelakon yang boleh melakonkan sesuatu watak dengan baik.
“Sekiranya dia boleh berlakon watak air mata, beri peluang untuk mencuba watak lain juga. Begitu juga sebaliknya. Jangan skeptikal dengan satu watak sahaja. Seperti saya, jangan kerana saya memiliki bentuk muka yang garang, jadi saya sering diberi watak jahat,” jelasnya.
Selain Shiqin filem tersebut turut dibintangi oleh Beto Kusyairi, Vanidah Imran, Hasnul Rahmat, Azhan Rani dan Zahiril Adzim. – KOSMO! ONLINE