PENYANYI dan pelakon Sherina Munaf meraih dua trofi di Anugerah Muzik Indonesia (AMI) 2024, namun yang menjadi tumpuan ramai adalah pengakuannya pernah hanya mandi 6 hari sepanjang sebulan.
Katanya, kesibukan bekerja dalam studio demi menyempurnakan skor lagu filem sehingga cuma sempat makan dan tidur sepanjang tempoh itu cukup berbaloi dengan kemenangan bagi kategori Karya Orkestra Terbaik dan Album Filem Skoring Terbaik.
Bagai dijangka, perkongsian wawancara dikongsikan pengguna TikTok itu mencetuskan perdebatan apabila netizen menganggap wanita berusia 34 tahun itu sebagai individu pengotor.
Malah ada yang mempertikaikan ibadahnya kerana sebagai orang Islam dan bersuami dia perlu mandi hadas sama ada selepas haid atau bersama suami.
Walaupun AMI 2024 sudah berlalu, berita mengenai penggiat seni yang aktif dalam arena hiburan sejak kanak-kanak itu terus menjadi bahan sindiran ramai.
Menyedari pengakuannya dijadikan bahan ejekan, Sherina enggan ambil peduli, sebaliknya menegaskan kini sudah menjalani rutin mandi seperti biasa.