KLANG – Kerajaan negeri telah menubuhkan pasukan petugas khas (task force) pelbagai agensi termasuk Persekutuan supaya pelan dan usaha mitigasi kejadian banjir dilihat dalam konteks menyeluruh.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau juga telah menekankan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri agar tidak melengahkan masa dalam menggerakkan usaha-usaha berkaitan sama ada dalam bentuk projek pendalaman sungai ataupun pelebaran saliran, kolam-kolam takungan dwi-fungsi.
Katanya, semua ini melibatkan peruntukkan sekurang-kurangnya RM1.774 billion iaitu RM574.5 juta di Daerah Klang seperti Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Klang, Seksyen 25, Shah Alam, Sungai Kapar, Sungai Rasah, Pekan Meru, Sungai Rasau.
Selain itu, sejumlah RM1.2 billion bagi Daerah Petaling iaitu Rancangan Tebatan Banjir Sungai Damansara serta Kolam Takungan Dwi-Fungsi bagi Sungai Klang dan Sungai Rasau.
“Pentadbiran ini menerima dengan hati yang terbuka terguran Tuanku yang sebenarnya menzahirkan betapa prihatinnya Tuanku terhadap nasib rakyat dan negeri Darul Ehsan supaya tidak mengalami nasib seperti di negeri-negeri lain.
“Patik menyatakan komitmen untuk mempercepatkan proses pelaksanaan usaha-usaha ini supaya mengelakkan kelewatan yang sebelum ini sering kali berlaku akibat budaya bekerja dalam silo di peringkat agensi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sembah ucapan taat setia pada Istiadat Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-79 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin di Balairung Seri, Istana Alam Shah, hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa kesal dan mahu kerajaan negeri segera merangka pelan menyeluruh bagi mengatasi isu banjir yang masih berlarutan sehingga kini.
Baginda juga mahu dihentikan menggunakan alasan tahap penurunan hujan tinggi dan luar biasa akibat ‘act of God’ (kuasa Tuhan).
Menurut Amirudin, Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia yang melancarkan Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor bagi menggariskan usaha jangka masa pendek dan panjang.
Jelas beliau, kerajaan negeri akan lebih cekal dan tangkas mendepani perubahan iklim bersama Kerajaan Persekutuan yang turut menyatakan komitmen mengenainya.
“Ini bagi memastikan perihal seperti pengurusan tanah melibatkan lebuh raya atau jajaran rel sedia ada tidak lagi menjadi penghalang kepada usaha tebatan banjir.
“Seterusnya, supaya rakyat Tuanku dapat hidup bukan sahaja di negeri yang paling maju di Malaysia tetapi
negeri yang paling berdaya huni,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE