PETALING JAYA – Pernah berada di tempat Zahnita, berjuang seperti Puteri Sarah di mahkamah, melalui ujian serupa Bella Astillah dan akhirnya memilih kehidupan baharu seperti Erra Fazira dan Rita Rudaini.
Itu yang dilalui seorang ibu tunggal menerusi penceritaannya pada Facebook LeeNa ScHa berhubung kehidupan rumah tangganya, sebelum berpisah dengan bekas suami.
“Akak ni pernah tau berada di tempat Zahnita, 20 tahun. Berkongsi naikkan semangat mereka yang hidup bersama narsistik baik lelaki, baik perempuan. Sebab bukan artis orang tak nampak. Akak tetap teruskan niat bagi kesedaran sebab tak sangka ramai yang datang tepi mohon kekuatan.
“Akak pernah berada di tempat Puteri Sarah berjuang kat mahkamah minta dilepaskan. Pernah berada di tempat Bella Astillah, berapa banyak ‘kantoi’ dengan perempuan-perempuan sampai Allah bagi tengok tengah ‘live’ kat Instagram.
“Tapi akak memilih akhirnya berada di tempat Erra Fazira dan Rita Rudaini,” katanya pada hantaran Facebook.
Wanita itu berkata, pada mulanya dia berasa takut untuk berpisah, namun dia berani berbuat demikian selepas terlalu lama menahan sakit derita.
“Akak ni sangat ‘adore’ (memuja) dengan Rita melihat pada kecemerlangan anak-anak dia. Dulu akak ada rasa takut juga, sampai satu tahap tawar hati, mati rasa dan nekad setelah terlalu lama simpan aib sorang suami.
“Terlalu lama berusaha memperbetulkan diri. Sudah terlalu lama menahan sakit. Derita, sudah terlalu lama anak terpaksa tengok dan membesar dalam kadaan yang toksik. Akhirnya akak pilih untuk tidak takut menjadi ‘single mom’ (ibu tunggal). Keluar selamatkan diri dengan sehelai sepinggang.
“Tanpa apa-apa duit, pakaian, sesiapa saudara. Mana masa tu yang tahu dan bantu hulurkan bantuan tempat tinggal, bantu bagi duit untuk mula langkah adalah sahabat yang tak disangka-sangka Allah hantarkan,” katanya.
Ceritanya lagi, dia hilang motivasi diri hampir dua minggu dengan berat turun mendadak, kusut selain berperang dengan diri sendiri untuk terus bangun dan kuat.
“Ni paling lama akak ‘down’. Alhamdulillah, akhirnya akak bangun dan berjuang sebab kasihan anak-anak masa tu. Berpisah seketika. Kalau diri tak okey, macam mana kita nak ambil anak-anak?.
“Sangat lelah sebenarnya keluar masuk balai dengan laporan banyak, turun naik balai polis dan mahkamah, keluar masuk hospital sebab kena pukul selain penyakit akibat kesan mental dan fizikal (dera),” katanya.
Katanya, daripada pengalaman hidup tersebut, wanita itu berkongsi ilmu kepada orang lain bagi membantu mereka yang terlibat mendapatkan kekuatan untuk terus hidup. – KOSMO! ONLINE